Skip to main content

Berita: MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU SERTAI JELAJAH AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS) & SAMBUTAN BULAN MALAYSIA SIHAT SEJAHTERA (BMSS) DAERAH KOTA KINABALU

  • -

    MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU SERTAI JELAJAH AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS) & SAMBUTAN BULAN MALAYSIA SIHAT SEJAHTERA (BMSS) DAERAH KOTA KINABALU

    20 September 2025 – Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) & Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Parlimen P.172 Kota Kinabalu telah berlangsung meriah di Taman Awam Teluk Likas pada pagi ini.

    Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.172 Kota Kinabalu.

    Dalam ucapannya, YB Datuk Chan menekankan bahawa ANMS merupakan sebuah gerakan nasional untuk memperkukuh budaya hidup sihat melalui pendekatan menyeluruh (Whole-of-Nation). Matlamat utamanya ialah memupuk amalan pencegahan penyakit, memperkasakan komuniti, serta membina generasi rakyat Malaysia yang lebih sihat, aktif dan berdaya tahan.

    Kehadiran Dato’ Sri Mayor dalam program ini menggambarkan sokongan padu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terhadap usaha memperluas pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan warga bandar raya.

    Dari perspektif pihak berkuasa tempatan, inisiatif sebegini amat penting kerana ia bukan sahaja meningkatkan tahap kesihatan masyarakat, malah menyokong usaha DBKK membangunkan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar, lestari dan sejahtera.

    Program ini disemarakkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk senamrobik, Langkah Sihat, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran interaktif, lawatan sukarelawan MyCHAMPION ke komuniti berdekatan serta pertandingan berbentuk pendidikan kesihatan yang melibatkan penyertaan pelajar dan masyarakat umum.

    Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa program sebegini berfungsi sebagai pemangkin kepada kerjasama rentas sektor antara kerajaan, PBT, agensi teknikal, swasta dan NGO. Beliau turut menyeru warga bandar raya untuk menjadikan amalan hidup sihat sebagai budaya harian, demi kesejahteraan bersama.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari
    #MalaysiaSihat

    Disediakan oleh:
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar