Skip to main content

Berita: UPACARA MENAIKKAN BENDERA BANDARAYA KOTA KINABALU 2026 MENYEMARAK TEKAD, MEMPERKUKUH AMANAH PERKHIDMATAN

  • -

    Pekarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadi lokasi berlangsungnya Upacara Menaikkan Bendera Bandaraya Kota Kinabalu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu, pada 02 Februari 2026, dengan penyertaan warga kerja DBKK.

    Upacara tahunan ini diadakan sebagai tanda memperingati pengisytiharan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya pada 02 Februari 2000, di samping menjadi platform untuk memperkukuh semangat kebersamaan serta komitmen warga kerja DBKK dalam melaksanakan amanah perkhidmatan kepada bandar raya.

    Majlis penuh istiadat ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, yang hadir bersama isteri, Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, serta barisan Pengurusan Tertinggi DBKK.

    Majlis dimulakan dengan penerimaan Tabik Hormat oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Mayor daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama DBKK, sebelum memeriksa perbarisan sebagai tanda penghormatan terhadap disiplin dan kesiapsiagaan pasukan. Upacara diteruskan dengan Bacaan Doa bagi memohon kesejahteraan dan keberkatan untuk Bandaraya Kota Kinabalu.

    Upacara seterusnya menyaksikan perarakan masuk Bendera Bandaraya Kota Kinabalu oleh anggota Jabatan Penguatkuasaan DBKK sebelum bendera tersebut dinaikkan dengan iringan Lagu Rasmi DBKK “Ikrar Gemilang”yang dipersembahkan oleh Pasukan Koir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

    Bagi menzahirkan iltizam dan tanggungjawab bersama, seluruh warga kerja DBKK turut menyempurnakan Lafaz Ikrar DBKK sebagai simbol komitmen berterusan untuk memberikan perkhidmatan yang berintegriti, profesional dan berkesan kepada masyarakat.

    Upacara Menaikkan Bendera ini diakhiri dengan Tabik Hormat Penutup oleh Pasukan Kawalan Kehormatan DBKK, sekali gus menutup tirai majlis yang berlangsung dengan teratur dan penuh makna.

    Sambutan ulang tahun ke-26 ini mencerminkan komitmen berterusan DBKK dalam memperkukuh peranan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang berwibawa, berprestasi tinggi, dan berpaksikan rakyat, selaras dengan usaha menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya pintar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam.

    Selamat Ulang Tahun Ke-26 Bandaraya Kota Kinabalu.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #UlangTahunKe26
    #BandarayaPintarDanLestari

    Disediakan oleh:
    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan
    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar