Skip to main content

Berita: LEBIH 4,000 PESERTA MERIAHKAN BORNEO HALF MARATHON 2026

  • -

    12 FEBRUARI 2026 – Penganjuran Borneo Half Marathon 2026 terus mencatat kejayaan tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan lebih 4,000 peserta daripada dalam dan luar negara.

    Acara berprestij ini merupakan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kinabalu Running Club (KRC), yang telah berlangsung meriah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 08 Februari 2026, bersempena Sambutan Hari Bandaraya Kota Kinabalu Ke-26 tahun.

    Acara pelepasan peserta yang bermula seawal jam 5.30 pagi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), bersama YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, yang bersama-sama barisan kepimpinan menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran acara ini.

    Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi ini mencerminkan komitmen berterusan DBKK dan Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkasa inisiatif sukan komuniti berskala besar yang bukan sahaja memupuk gaya hidup sihat, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan sukan (sports tourism) di Kota Kinabalu.

    Penganjuran Borneo Half Marathon 2026 turut disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan kerjasama dalam menjayakan agenda bandar raya yang sihat, aktif dan inklusif.

    Lebih membanggakan, acara ini telah berjaya menarik penyertaan peserta antarabangsa dari tujuh (7) buah negara, iaitu United Kingdom (UK), Hong Kong, Brunei Darussalam, Singapura, Filipina, Amerika Syarikat dan Itali, selain penyertaan pelari tempatan dari seluruh negara.

    Penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat ini membuktikan daya tarikan Kota Kinabalu bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, malah sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

    Majlis penyampaian hadiah telah menyaksikan para pemenang dinobatkan bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan melibatkan jarak 21KM dan 11KM, antaranya Men’s Open, Men’s Junior Veteran, Men’s Veteran, Men’s Senior Veteran, Women’s Open, Women’s Junior Veteran, Women’s Veteran, Women’s Senior Veteran, serta kategori berprestij Intercity Mayor’s Cup.

    Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pemenang dan peserta atas semangat kesukanan, disiplin serta komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang acara berlangsung.

    #IntercityMayorsCup2026
    #BorneoHalfMarathon
    #SportsTourism
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:

    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar