Berita: SESI TAKLIMAT DAN PENYERAHAN REPLIKA CEK PERUNTUKAN PROGRAM BANDAR SELAMAT 2.0 (PBS 2.0) TAHUN 2026
12 JUN 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima peruntukan di bawah Program Bandar Selamat 2.0 (PBS 2.0) Tahun 2026 dalam satu sesi taklimat dan penyerahan replika cek yang diadakan di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK, pada 08 Jun 2026.
YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah menerima replika cek peruntukan tersebut yang disampaikan oleh Puan Wardiyah binti Senik @ Abdul Mokhti, Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, PLANMalaysia.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dato' Sri Mayor berkata, peruntukan pembangunan yang diterima ini merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha berterusan DBKK dalam menyediakan persekitaran bandar yang lebih selamat, selesa dan berkualiti kepada warga Kota Kinabalu.
Tambahnya, DBKK amat menghargai sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan melalui PLANMalaysia dalam memperkasakan agenda keselamatan bandar. Kerjasama erat antara agensi persekutuan, kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan elemen penting dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat memberi manfaat yang optimum kepada masyarakat.
Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, barisan Pengurusan Tertinggi dan Ketua-Ketua Jabatan DBKK serta rombongan daripada PLANMalaysia.
Menerusi sesi taklimat berkenaan, Dato’ Sri Mayor memaklumkan bahawa peruntukan PBS 2.0 akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan Projek Pemasangan Lampu dan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di sepanjang Laluan Pejalan Kaki Berstruktur Rendah dari Bangunan DBKK ke Jalan Bukit Bendera.
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan awam, memperkukuh pemantauan kawasan tumpuan serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih kondusif dan inklusif. Inisiatif tersebut juga selaras dengan aspirasi Program Bandar Selamat 2.0 dan komitmen DBKK dalam mempertingkatkan kualiti hidup warga Kota Kinabalu.
Foto: Renaldo Fernandez
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



