Skip to main content

Berita: PROGRAM CITRA BUDAYA KOTA KINABALU “KK CULTURE ON STAGE 2026” SIRI 4 (BULAN OKTOBER), PROGRAM KK KOMUNITI SEJAHTERA 2.0: ‘LEAVE NO ONE BEHIND - TOWARDS SUSTAINABLE MARKET’ & KK SUNSET RIDE

  • -

    22 OKTOBER 2026: Warisan seni dan budaya tempatan terus diperkasa menerusi Program Citra Budaya Kota Kinabalu “KK Culture On Stage 2026” Siri 4 (Bulan Oktober) anjuran Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang berlangsung di Lintasan Deasoka, pada 10 Oktober 2026.

    Program yang bermula pada jam 7 malam ini bertujuan untuk mempromosikan keunikan dan kepelbagaian pelancongan budaya serta komuniti di bandar raya menerusi persembahan kebudayaan dan aktiviti interakif yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali warisan tempatan dengan lebih dekat.

    Bertemakan “Warisan Tanpa Sempadan”, program kali ini menampilkan persembahan tarian pembukaan bertajuk “Menyambut Kepulangan Antanom” oleh kumpulan tari Mari Mari Cultural Village dan Kumpulan Penari Kinabalu. Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu tempatan dan tarian tradisi yang mengetengahkan elemen seni dan budaya masyarakat berbilang etnik di negeri ini.

    Lebih menarik lagi, program ini mengalu-alukan penyertaan daripada pengunjung yang hadir, khususnya pelancong untuk sama-sama merasai pengalaman interaktif dengan dalam tarian tradisi yang dipersembahkan.

    Pada hari yang sama, Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK turut menganjurkan Program KK Komuniti Sejahtera 2.0 seawal jam 12 tengah hari, di lokasi yang sama. Bertemakan “Komuniti Hijau & Rendah Karbon”, pelbagai aktiviti menarik ditawarkan untuk penyertaan daripada para pengunjung.

    Antaranya ialah pertandingan e-Sport Mobile Legend, pertandingan melukis, zumba serta taklimat bertajuk “Kempen Pendaftaran dan Kawal Haiwan” oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK dan “Kempen KK Bersih & Hijau” oleh Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya, DBKK.

    Orang ramai juga berpeluang untuk mengunjungi reruai KK Komuniti Sejahtera 2.0 yang disertai oleh agensi luar dan jabatan-jabatan DBKK. Antaranya ialah MATTA, Balai Seni Lukis, Kraftangan Malaysia, Lumamus Sanctuary, Mari Mari Cultural Village, Sufen Beauty & Spa, Pack My Lunch, Citra Kasih serta jabatan-jabatan DBKK dan DBKK Holdings Sdn. Bhd.

    Program kemudian diteruskan dengan KK Love Bike: Free Ride Tour - Sunset Ride 2026 Siri 4 (Bulan Oktober). Peserta berbasikal telah dilepaskan dari KK Sentral dan bergerak menuju ke Anjung Senja, Segama Waterfront, Jeti DBKK, Sabah Tourism Board, Menara Jam Atkinson sebelum berakhir di pekarangan bangunan DBKK.

    Penganjuran program ini akan diteruskan secara bulanan dengan mengangkat tema yang berbeza, agar ia menjadi platform yang memberi ruang kepada orang ramai untuk sama-sama menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan dalam suasana yang meriah dan santai.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK