Berita: Kursus Pengurusan Aset Dan Stor Yang Berkesan Anjuran DBKK Lahirkan Kakitangan Cekap, Mahir Dan Produktif
Liputan: Dayangku Maya Maysara | Foto: Bryan Peter
10 OKTOBER 2024: Seramai 59 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menyertai “Kursus Pengurusan Aset dan Stor yang Berkesan” yang berlangsung selama tiga (3) hari, bermula 07 hingga 09 Oktober bertempat di Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, Taman Kingfisher Kota Kinabalu.
Objektif penganjuran kursus ini adalah memahami mengenai dasar, arahan, peraturan dan panduan semasa kerajaan berkaitan pengurusan aset; meningkatkan kemahiran dalam mengurus aset dalam konteks pemakaian arahan dan peraturan semasa kerajaan; memahami sejelas mungkin konsep, prinsip dan tatacara berkesan dalam aktiviti menguruskan stor dan aset yang berkesan; menjadi lebih cekap, mahir dan produktif mengendalikan urursan pergerakan dan mengawal stok serta keselamatan rumah stor serta mengamalkan nilai-nilai penjimatan kos dan peningkatan keuntungan melalui usaha-usaha mengurangkan pembaziran dan kawalan dengan lebih sistematik, cekap dan berkesan.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta mendapat bimbingan daripada penceramah berpengalaman dari INTAN Sabah, iaitu Puan Normah Fazal dan Puan Majlinah Abdul Majid, yang telah berkongsi ilmu mengenai pengurusan aset alih, prosedur pelupusan aset, serta langkah-langkah penting untuk mencegah kehilangan atau kerosakan aset.
Semangat dan dedikasi tinggi dapat dilihat menerusi penyertaan aktif para peserta kursus yang aktif mengadakan perbincangan dan sesi soal jawab berkaitan tajuk yang dibentangkan.
Semoga perkongsian ilmu yang berlangsung sepanjang kursus ini memberi manfaat besar kepada kakitangan DBKK dalam memastikan pengurusan aset di jabatan masing-masing lebih cekap dan teratur.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta!



