Berita: MAJLIS PELANCARAN KEMPEN MEMBASMI TIKUS DI PIHAK BERKUASA TEMPATAN TAHUN 2025
26 JUN 2025: Dalam usaha untuk membasmi populasi haiwan perosak di sekitar bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya menyahut Kempen Membasmi Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025, dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada 25 Jun 2025.
Kempen anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKTP) ini akan dilaksanakan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu dan akan berlangsung mulai 25 Jun hingga 31 Julai 2025, bertujuan untuk membasmi infestasi tikus di kawasan yang telah dikenal pasti dan mencapai Indeks Tikus 1 dan ke bawah; meningkatkan tahap kecekapan PBT dalam kawalan tikus serta memberikan pengiktirafan kepada PBT yang melaksanakan kempen ini dengan cemerlang.
Majlis Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, kempen ini selari dengan visi DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang sejahtera, iaitu selamat, bersih dan sihat untuk semua lapisan masyarakat.
Tambah beliau, antara aktiviti yang akan diadakan bersempena dengan kempen ini termasuklah aktiviti gotong-royong pembersihan Pasar Besar Kota Kinabalu serta pelaksanaan tindakan kawalan tikus secara fizikal, mekanikal dan kimia, selaras dengan Garis Panduan Kawalan Tikus.
Menerusi kempen ini, DBKK juga akan mengadakan Pertandingan Keceriaan Gerai dan Pertandingan Tangkap Tikus, dengan memberikan insentif RM2 bagi setiap tikus yang ditangkap dan diserahkan kepada DBKK. Selain itu, turut diadakan Penilaian Risiko Persekitaran di Pasar Besar Kota Kinabalu, Penilaian Tahap Kebersihan Pasar (Penggredan), Kajian Knowledge, Attitude & Practice (KAP) terhadap peniaga-peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu dan Kajian Indeks Tikus di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Hadir sama ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK selaku Pengerusi Penganjur Majlis; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK; Encik Karim bin Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan); Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan); Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd. serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Mayor turut menyempurnakan sesi penyerahan sijil penghargaan kepada wakil agensi dan penjaja atas kerjasama dalam kempen ini. Antaranya ialah Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA); Pasar Besar Kota Kinabalu; Pasar Ikan Kota Kinabalu; Persatuan Penjaja Bumiputera Pantai Barat Sabah; Persatuan Penjual Ikan Masin dan Buah UNHCR dan Persatuan Peniaga Kraftangan Kota Kinabalu.
Turut hadir menyatakan sokongan penuh terhadap kempen ini ialah Dr. Edmund Shin Chin Vui, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Seksyen Kawalan Penyakit mewakili Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu; Encik Adzuan Abidin, Pegawai Bomba Kanan II, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu; Encik Mervin Liew, Pengerusi Persatuan Pengurusan Bersepadu Makhluk Perosak Sabah (SIPMA); Encik Kelvin Kong, Penolong Pengurus Jualan Daerah Life Water Industries Sdn. Bhd. dan Encik Azis Aliamat, mewakili Pengurus Besar SAFMA.
Pelaksanaan kempen ini diharap akan menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat di antara PBT, peniaga, swasta dan persatuan peniaga dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keteraturan di kawasan-kawasan awam, selain meningkatkan kesedaran umum tentang bahaya infestasi haiwan pembawa penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat, imej bandar raya serta aktiviti perniagaan, khususnya di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas penglibatan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan Kempen Membasmi Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025.
Semoga sokongan padu daripada semua pihak menerusi kempen ini akan membantu Bandaraya Kota Kinabalu mencapai Indeks Tikus 1 dan ke bawah, sekali gus mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan berdaya huni.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariLiputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo FernandezBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



