Berita: MAJLIS SAMBUTAN HARI KESELAMATAN MAKANAN SEDUNIA PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU TAHUN 2025
07 JULAI 2025: Seiring usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan keselamatan makanan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025, di Palm Square, Centre Point Sabah, pada 05 Julai 2025.
Berteraskan tema “Keselamatan Makanan, Tanggungjawab Bersama”, penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkukuh usaha menjadikan keselamatan makanan sebagai agenda utama dalam mengurangkan penyakit bawaan makanan, sehingga menjejaskan kesihatan awam.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, Dato' Sri Mayor menggesa kepada semua pemilik dan pengusaha premis makanan untuk terus memberi kerjasama penuh kepada DBKK dalam mematuhi piawaian keselamatan makanan.
Tegas beliau, penekanan terhadap aspek keselamatan makanan adalah amat penting dan tidak boleh dikompromi kerana ia bukan sahaja melibatkan kesihatan individu, tetapi juga kesejahteraan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan seramai 27 pengusaha premis makanan menerima Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan Gred A dan penyerahan Sijil Penarafan Bintang Tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) kepada pihak pengurusan Centre Point Sabah. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi lawatan ke sekitar pameran dan penyampaian Sijil Penghargaan kepada peserta pameran.
Antaranya ialah Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu (PKKKK); Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Kota Kinabalu, Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK selaku Pengerusi Penganjur Majlis merangkap Pengerusi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu; YBhg. Datin Dr. Siti Fatmah binti Suahid, Ahli Lembaga Penasihat, DBKK; Dr. Seah Shu Yen, Pegawai Pergigian, Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Kota Kinabalu; Puan Talissa R. Kiandee, Pegawai Teknologi Makanan, PKKKK; Puan Aqilah Karim, Pegawai Dietetik, HUMS; Puan Bibiane Umbol, Ketua Kumpulan Pengiklanan mewakili Pengurusan Centre Point Sabah dan Encik Mervin Liew, Presiden Persatuan Pengurusan Bersepadu Mahkluk Perosak Sabah (SIPMA).
Majlis ini juga mendapat sokongan dan penglibatan aktif daripada Dewan-dewan perniagaan dan Persatuan-persatuan restoran dan kedai kopi yang telah hadir memeriahkan majlis ini.
Kehadiran dan penyertaan mahasiswa daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seperti Tunku Abdul Rahman University of Management of Technology; Kolej Teknologi Yayasan Sabah; Almacrest International College; North Borneo University College dan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, UMS turut memeriahkan lagi suasana di sekitar acara.
Pelbagai intisari menarik telah dijalankan bersempena dengan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025, antaranya ialah Sesi Libat Urus Bersama Pengusaha Premis Makanan di Centre Point Sabah; pemeriksaan bersepadu premis makanan bersama PKKKK; gotong-royong pembersihan premis makanan di Basement Food Court, Centre Point Sabah; pemeriksaan dan penggredan premis makanan serta penarafan bintang tandas awam di Centre Point Sabah.
Selain itu, bagi memperkukuhkan objektif majlis, turut diadakan pengisian yang terbuka untuk penyertaan daripada orang awam seperti Ceramah Kesihatan, Pendaftaran Lesen Anjing, Pemeriksaan Asas Kesihatan oleh HUMS, Pertandingan Mewarna dan Kuiz.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2025.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin dalam meningkatkan tahap kebersihan premis makanan serta meningkatkan imej Kota Kinabalu sebagai bandar raya bersih dan selamat dalam aspek keselamatan makanan!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



