Skip to main content

Berita: KURSUS PEMANTAPAN PENGURUSAN TATATERTIB DAN INTEGRITI DBKK TAHUN 2025

  • 21 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pengurusan Tatatertib Dan Integriti DBKK Tahun 2025, bertempat di Hotel Horizon, pada 16 dan 17 Julai 2025.

    Kursus yang disertai seramai 62 kakitangan DBKK ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kefahaman pegawai penyelia serta anggota pengurusan berkaitan aspek tatatertib dalam perkhidmatan awam, selain kepentingan pengamalan integriti yang tinggi dalam pelaksanaan tugas harian.

    Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Sementara itu, Majlis Penyampaian Sijil & Watikah Pelantikan Pegawai Disiplin di setiap jabatan DBKK telah disempurnakan oleh Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK.

    Menerusi kursus ini, para peserta telah diberi pendedahan berkenaan peraturan tatatertib yang berkaitan prosedur pengurusan kes tatatertib dan kepentingan integriti dalam pengurusan organisasi. Kursus ini turut menyediakan ruang untuk perbincangan dan perkongsian amalan terbaik dalam menangani isu-isu disiplin serta cabaran etika di tempat kerja.

    Objektif utama pelaksanaan kursus ini ialah unuk memberi pendedahan mengenai jenis-jenis pelanggaran tatakelakuan yang boleh diambil tindakan tatatertib dan jenis hukuman serta meningkatkan kefahaman tugas dan tanggungjawab seorang Pegawai Penyelia/Ketua Jabatan mengenai tugas kawalan dan pengawasan tatatertib di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Negeri Sabah 2008 serta meningkatkan kemahiran pengurusan tatatertib oleh pegawai mengikut prosedur, peraturan dan pekeliling berkaitan agar tindakan kawalan dan pengawasan tatatertib terhadap pegawai bawahannya dapat diuruskan dengan baik.

    Selain itu, kursus ini juga bertujuan untuk menanamkan sifat bertanggungjawab dan kepatuhan terhadap prosedur, peraturan dan pekeliling dalam menguruskan proses tindakan tatatertib serta memperkasa nilai etika dan akauntabiliti dalam pengurusan organisasi.

    Penganjuran kursus ini diharap dapat memberikan pemahaman dan kemahiran kepada para peserta yang hadir dalam memperhebat pengurusan dan prosedur tindakan disiplin dalam perkhidmatan awam.

    Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
    Foto: Renaldo Fernandez & Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA. DBKK