Berita: KUNJUNGAN HORMAT KONSUL JENERAL REPUBLIK RAKYAT CHINA YANG BAHARU DI KOTA KINABALU PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK ANTARA DUA PIHAK
22 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima kunjungan hormat daripada Konsul Jeneral Republik Rakyat China yang baharu di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong, bersama pegawai-pegawai Konsulat, pada 22 Julai 2025 yang lalu.
Kunjungan ini merupakan simbolik permulaan kepada hubungan diplomatik yang lebih erat antara DBKK dan Konsulat China di Kota Kinabalu di bawah kepimpinan baharu. Ia juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan bandar raya secara menyeluruh.
Dalam pertemuan tersebut, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Konsulat China dalam menyokong usaha pembangunan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang inklusif, progresif dan mampan.
Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama dalam bidang pelancongan, pelaburan ekonomi, pendidikan, teknologi, serta pemerkasaan budaya dan komuniti.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka peluang dalam memperkukuh hubungan ‘sister city’ antara Kota Kinabalu dengan bandaraya-bandaraya di China, sebagai usaha memperluas dimensi kerjasama dua hala yang saling menguntungkan.
Hubungan diplomatik yang terjalin ini diharap akan terus memperkayakan pembangunan bandar raya dalam mencapai visi dan misi DBKK ke arah pembentukan persekitaran urban yang lebih lestari, berdaya huni dan berdaya saing di persada antarabangsa.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPeranginanSemulajadiLaporan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli



