Berita: EKSPLORASI ILMU & PEMERKASAAN KOMPETENSI BERKAITAN STRATEGI KUTIPAN TUNGGAKAN CUKAI KADARAN
05 OGOS 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kewangan dan Belanjawan (JKB) telah menganjurkan program Eksplorasi Ilmu & Pemerkasaan Kompetensi Berkaitan Strategi Kutipan Tunggakan Cukai Kadaran bertemakan "Sinergi Ilmu, Strategi Berimpak Ke Arah Pengurusan Hasil Yang Mapan", yang berlangsung mulai 28 Julai hingga 01 Ogos 2025.
Menerusi program ini, rombongan yang diketuai oleh Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), bersama 14 orang kakitangan DBKK telah mengadakan lawatan kerja dan sesi perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi berkaitan kewangan dan perbankan serta syarikat minyak dan gas nasional. Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pegawai dalam merangka strategi kutipan hasil yang lebih berkesan.
Tirai program dimulakan dengan sesi perbincangan bersama Bank Islam yang berlangsung di Subang Jaya, Selangor, pada 28 Julai 2025. Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Encik Jasarudin bin Sahak, Director, Liquidity Management Channel, Bank Islam. Perbincangan ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Kempen Galakan Membayar Cukai Kadaran yang dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Program kemudian diteruskan pada 29 Julai 2025 dengan kunjungan ke Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Ketibaan rombongan DBKK disambut mesra oleh Tuan Haji Mohamad Zahri bin Haji Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya.
Menerusi kunjungan ini, pelbagai input bernilai telah dikongsikan, khususnya berkaitan dengan strategi memperkukuh kutipan tunggakan cukai kadaran, penambahbaikan proses kerja, pemerkasaan teknologi maklumat, serta penguatkuasaan undang-undang. Segala perkongsian ini secara langsung dapat membantu memperkasa mutu tadbir urus dan menyokong aspirasi pembangunan mampan Bandaraya Kota Kinabalu.
Pada 30 Julai 2025, rombongan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Petronas Dagangan Berhad, yang diwakili oleh Encik Raja Restam, Head of Network Management, bertempat di Menara KLCC. Hasil daripada pertemuan ini, pihak Petronas telah menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan DBKK.
Pada hari terakhir program, iaitu 31 Julai 2025, delegasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah meneruskan siri kunjungan kerja dengan mengadakan lawatan ke Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Hadir sama dalam lawatan ini ialah Encik Haji Khairul Nizam bin Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Jabatan Kewangan, MBSA.
Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan input dan perkongsian amalan terbaik berkaitan strategi kutipan tunggakan cukai kadaran, sejajar dengan kejayaan MBSA dalam mencapai tahap keberkesanan kutipan yang tinggi.
Manakala, pada sebelah petang, delegasi telah mengadakan perbincangan bersama pihak Safe Guard yang memfokuskan perkongsian berkaitan penggunaan kiosk dan 'CDM machine' yang berpotensi untuk diadaptasi di DBKK, sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan kemudahan pembayaran cukai kepada warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Sepanjang lima (5) hari berlangsungnya program Eksplorasi Ilmu & Pemerkasaan Kompetensi Berkaitan Strategi Kutipan Tunggakan Cukai Kadaran, pelbagai input dan idea baharu telah diperolehi oleh para delegasi. Semoga ia menjadi pemangkin kepada usaha menambah baik sistem kutipan cukai kadaran DBKK pada masa akan datang.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Kewangan dan Belanjawan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



