Skip to main content

Berita: MAJLIS MENANDATANGANI MOU ANTARA DBKK DENGAN UMS BAGI PROGRAM DBKK-UMS: SUSTAINABLE TOURISM LIVING LAB: INNOVATION AND ENGAGEMENT

  • -

    07 OGOS 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi Program DBKK-UMS: Sustainable Tourism Living Lab: Innovation and Engagement, dalam satu majlis yang diadakan di Hilton Kota Kinabalu, di sini, pada 04 Ogos 2025.

    Langkah ini merupakan kesinambungan daripada Letter of Intent (LoI) antara DBKK dan UMS yang dimeterai pada 25 Oktober 2024, dan menjadi platform kepada siri perbincangan teknikal dan kerjasama strategik bagi pelaksanann program perintis, Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau.

    Majlis menandatangani MoU di antara DBKK dan UMS ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, JP, Naib Canselor UMS.

    Momen penuh makna ini telah disaksikan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK dan Encik Luqman Ridha Anwar, Pendaftar UMS.

    Dalam ucapannya, Dato' Sri Mayor berkata, MoU ini bukan sekadar sebuah bentuk kerjasama pentadbiran, namun merupakan manifestasi komitmen bersama dalam menyokong pendekatan baharu pembangunan mampan yang berpaksikan ilmu, komuniti dan nilai bersama.

    Tambah beliau, Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau akan menjadi program 'flagship' di bawah kerangka pelaksanaan Sustainable Tourism Living Lab dan merupakan titik mula penting ke arah pengurusan lestari kawasan yang dikenal pasti berpotensi tinggi dari aspek biodiversiti, ekopelancongan serta penglibatan komuniti secara langsung.

    Turut hadir menyatakan sokongan penuh terhadap kerjasama ini ialah Puan Hajah Fauziahton binti Ag. Samad, Pengarah Jabatan Penyelidikan Inovasi dan Hal Ehwal Antarabangsa selaku Pengerusi Pelaksana Majlis; Prof. Madya Dr. Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni); Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd Karim, Dekan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan dan Professor Dr. Awangku Hassanal Pengiran Bagul, Pengarah EcoCampus, UMS.

    Lembangan Sungai Darau, terletak di Kampung Darau, Manggatal, sekitar 12KM dari pusat bandar, merupakan lokasi tumpuan utama bagi pelaksanaan Ekspedisi Saintifik Lembangan Sungai Darau, yang bertujuan untuk mengumpul, mendokumentasikan dan menjalankan kajian saintifik ke atas kepelbagaian biologi, ekosistem dan sosio-ekonomi penduduk di sekitarnya.

    Selain itu, ia juga merupakan usaha dalam mempromosikan kawasan lembangan berkenaan sebagai kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pelancongan.

    Ekspedisi ini yang bakal dikendalikan oleh penyelidik UMS bersama DBKK dan komuniti setempat, dijangka akan menghasilkan pemetaan biodiversiti, senarai spesis, analisis impak ekosistem serta pelan tindakan yang bersandarkan data saintifik.

    Semoga dengan termeterainya MoU antara DBKK dan UMS ini menjadi permulaan kepada usaha sama yang efisien dan berimpak tinggi, khususnya kepada komuniti setempat.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK