Berita: MANFAATKAN KEMUDAHAN DI TAMAN AWAM, GUNA SECARA BERHEMAH
18 OGOS 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil maklum penularan video di media sosial pada 18 Ogos 2025 yang memaparkan tindakan tidak bertanggungjawab sekumpulan individu yang menunggang motosikal di atas trek joging yang terdapat di Taman Awam Teluk Likas.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini bertentangan dengan peraturan yang telah ditetapkan di taman-taman awam bawah seliaan DBKK, iaitu orang awam dilarang untuk menunggang motosikal atau kenderaan di trek jogging atau trek berbasikal yang disediakan.
Taman awam sering menjadi kawasan tumpuan warga Bandaraya Kota Kinabalu untuk melakukan aktiviti beriadah. Oleh yang demikian, atas dasar keprihatinan antara satu dengan yang lain, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menggunakan kemudahan trek yang disediakan secara berhemah.
Papan tanda peraturan-peraturan taman ada diletakkan di sepanjang Taman Awam Teluk Likas, yang berfungsi sebagai panduan kepada pengunjung di taman berkenaan.
Sehubungan itu, pengunjung diingatkan untuk sentiasa peka dan patuh kepada peraturan taman yang telah ditetapkan. Sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada kemudahan awam, tetapi juga meningkatkan risiko bahaya terhadap pengunjung lain.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



