Berita: MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH DAN MAHRAJAN KESENIAN ISLAM PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU 1447H/2025M
19 OGOS 2025: Majlis Sambutan Ma’al Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam (Kompang, Nasyid, Marhaban dan Barzanji) Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 1447H/2025M telah berlangsung dengan penuh meriah, di KK Sentral, pada 18 Ogos 2025.
Penganjuran majlis ini adalah hasil kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan bantuan Badan Dakwah Bandaraya Kota Kinabalu dan PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu.
Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang hadir bersama isteri YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, selaku Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Mayor berkata, kesenian Islam bukan sekadar hiburan, bahkan merupakan dakwah halus yang menyentuh hati nurani, menyemai rasa cinta kepada Allah dan Rasul serta menyatukan masyarakat melalui seni yang beradab dan penuh makna. Tambahnya, beliau percaya bahawa ruang dan platform seperti ini akan mendekatkan generasi muda kepada Islam, bukan hanya melalui ilmu dan ibadah tetapi juga melalui seni budaya yang mendidik jiwa.
Tirai majlis dibuka dengan sesi Tazkirah Khas Ma’al Hijrah yang disampaikan oleh Sohibul Fadilah Ustaz Abdul Razak bin Hamdin, Timbalan Mufti Negeri Sabah dan persembahan Mahrajan Kesenian Islam.
Majlis diteruskan dengan sesi Penyampaian Hadiah Pertandingan Mahrajan Kesenian Islam (Kompang, Nasyid, Marhaban dan Barzanji) dan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 1447H/2025M. Berikut adalah senarai penuh penerima:
ANUGERAH TOKOH MA’AL HIJRAH BANDARAYA KOTA KINABALU TAHUN 1447H/2025M
Tokoh Ma’al Hijrah (Lelaki):
Haji Syed Husin bin Habib OmarAnugerah Saidatina Khadijah (Wanita):
Datuk Dr. Hajah Suzain Datuk Haji SuhaimiAnugerah Khalid Ibn Al-Walid (Belia):
Abqaree Fawwaz AbekanAnugerah Fatimah Az-Zahrah (Beliawanis):
Norfarihah Izzati Azzahra binti AdnanAnugerah Abdul Rahman Auf (Usahawan):
Datuk Haji Awang Sham bin Amit@AmatPERTANDINGAN MAHRAJAN KESENIAN ISLAM
Juara Nasyid Lelaki : Kumpulan Andika
Juara Nasyid Wanita : Kumpulan Nur Husna
Juara Marhaban dan Barzanji : Muslimah Surau Ibnu Saman Kg. Darau MenggatalHadir sama memeriahkan majlis ialah Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK; Ustaz Masnor Manshor, Pegawai Tadbir Agama, JHEAINS mewakili Pengarah JHEAINS dan Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Jadikan semangat Ma’al Hijrah sebagai dorongan dalam memperkukuhkan ukhuwah, meningkatkan amal ibadah ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya sejahtera dan harmoni.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez & Mohd. Asruddey Rusli#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



