Skip to main content

Berita: DBKK ANJUR BENGKEL PENGUKUHAN PENGURUSAN SISA MARIN, TINGKAT KESEDARAN IMPAK NEGATIF PENCEMARAN SISA MARIN

  • -

    11 SEPTEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dengan kerjasama Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya telah menganjurkan Bengkel Pengukuhan Pengurusan Sisa Marin, bertempat di Pusat Operasi Pembersihan Sampah Perairan DBKK, Sungai Darau, pada 09 September 2025.

    Bengkel yang dihadiri seramai 60 peserta yang terdiri daripada anggota DBKK dan syarikat kontraktor pembersihan ini telah disempurnakan oleh Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK. Beliau menekankan kepentingan memperkukuh kefahaman dan komitmen daripada semua pihak dalam usaha untuk menangani cabaran pencemaran sisa marin.

    Sebagai pengisian bengkel, sesi taklimat utama disampaikan oleh Puan Chai Chun Xue, daripada Marine Research Foundation (MRF) dengan dibantu oleh Encik Asri bin Gibson dan Encik Mod Rafi bin Abdulatiff.

    Selain pendedahan teori, para peserta turut diberikan latihan praktikal pengasingan sisa daripada sungai, laut dan pulau yang memberi pengalaman langsung dalam mengenal pasti komposisi sisa serta memahami kaedah pengurusan yang betul dan berkesan.

    Antara pengisian utama yang diadakan sepanjang program ini ialah:

    • Pengenalan kepada sisa marin

    • Pemahaman mendalam mengenai impak negatif sisa marin terhadap alam sekitar, ekonomi dan kesihatan awam

    • Penghayatan tanggungjawab bersama dalam menguruskan sisa marin secara lestari

    • Kaedah pengasingan dan pelupusan sisa marin yang sistematik

    • Latihan praktikal & analisis komposisi sisa dari lapangan (sungai, laut dan pulau)

    • Sesi pembentangan kumpulan dan perkongsian pengalaman sebagai pengukuhan ilmu

    Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara DBKK dan MRF yang dimeterai pada 09 April 2025, sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam pengurusan sisa marin, promosi kitar semula serta program kesedaran awam.

    Semoga usaha sama ini menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang lebih bersih, hijau dan lestari. Untuk mengikuti lebih banyak inisiatif dan kempen kebersihan yang berlangsung, layari Facebook dan TikTok “KK Bersih dan Hijau”.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari
    #KKBersihdanHijau

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK