Skip to main content

Berita: DBKK TERIMA LAWATAN KERJA DARIPADA MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN (MBS), PERKUKUH JALINAN KERJASAMA ANTARA PBT DALAM BIDANG PENGURUSAN PELESENAN

  • -

    11 SEPTEMBER 2025: Dalam usaha untuk memperkukuh jalinan kerjasama strategik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berbesar hati menerima lawatan kerja daripada delegasi Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang diketuai oleh YBhg, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar MBS, pada 10 September 2025.

    Lawatan kerja ini bertujuan untuk mewujudkan jalinan kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalamw bidang pengurusan pelesenan, sebagai platform perkongsian ilmu dalam konteks pelesenan dan penyusunan penjaja atau usahawan mikro serta mempelajari pengalaman berkaitan isu dan cabaran dalam melaksanakan penganjuran pasar yang mendapat sambutan.

    Majlis telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK; Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK; Encik Karim Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), DBKK serta Ketua-ketua Jabatan, DBKK.

    Manakala, delegasi MBS telah disertai oleh seramai 38 orang yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi, Ahli-ahli Majlis serta pegawai-pegawai kanan dari pelbagai jabatan MBS. Turut hadir wakil daripada Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

    Antara pengisian utama lawatan ini adalah sesi taklimat bertajuk “Pengurusan Lesen, Pasar dan Penjaja di DBKK” yang disampaikan oleh Encik Rozie Khan Halik, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK, sebelum diteruskan dengan sesi interaktif dan soal jawab yang memberi ruang kepada hadirin untuk mengemukakan soalan selain berkongsi pandangan berkaitan topik yang telah dibentangkan.

    Datuk Bandar MBS dan Dato' Sri Mayor turut mengambil kesempatan ini untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran di organisasi masing-masing.

    Majlis kemudian diteruskan dengan sesi pertukaran cenderahati sebagai tanda penghargaan serta komitmen terhadap kerjasama di masa hadapan.

    Semoga perkongsian ilmu yang diperolehi menerusi lawatan kerja ini dimanfaatkan dalam membina jalinan kerjasama yang lebih erat di antara DBKK dan MBS, sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada warga bandar raya.

    Terima kasih Majlis Bandaraya Seremban di atas kesudian membuat lawatan ke DBKK!

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK