Berita: DBKK LAKSANA KERJA-KERJA PEMBERSIHAN POKOK TUMBANG SUSULAN CUACA BURUK DI SEKITAR KOTA KINABALU
15 SEPTEMBER 2025: Susulan cuaca buruk berterusan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menerima aduan berkaitan pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar bandar raya.
Tindakan pembersihan telah dimulakan serta-merta bagi memastikan jalan raya dapat digunakan dengan lancar dan selamat.
Seramai 19 anggota Jabatan Landskap, DBKK yang terbahagi kepada dua (2) kumpulan telah digerakkan untuk melaksanakan kerja-kerja mengalihkan sisa dahan dan pokok tumbang di kawasan yang terkesan. Turut digerakkan dua (2) buah jentera Skymaster dan dua (2) buah lori bagi membantu melancarkan kerja pembersihan.
Antara kawasan-kawasan yang telah berjaya dibersihkan ialah Jalan Bukit Padang, Jalan Gaya, Jalan Peak dan Jalan UMS - Yayasan Sabah, Jalan DUN, Jalan Bunga Taman Damai, Signal Hill, Taman Kingfisher dan Kedai Kepayan Rumah Murah.
Untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan bencana di sekitar bandar raya, orang awam boleh menghubungi Hotline Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Kinabalu di talian 088-239681/088-210011.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Landskap, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



