Skip to main content

Berita: LAWATAN DELEGASI ASEAN MEMBER STATE (AMS) KE DARAU WETLAND ECO-TOURISM

  • -

    02 OKTOBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah menyelaraskan lawatan Delegasi Asean Member State (AMS) ke Darau Wetland Eco-Tourism, yang merupakan lokasi popular eko-pelancongan bakau di Kota Kinabalu yang berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu dalam kerangka ekonomi biru, pada 30 September 2025.

    Lawatan yang melibatkan 62 peserta daripada 11 buah negara ini diadakan bersempena dengan Asean Coordinating Task Force on Blue Economu Forum (ACTF-BE) 2025 anjuran Kementerian Ekonomi Malaysia (KE). Hadir sama dalam lawatan ini ialah Puan Faradillah binti Haji Abdul Rani, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), DBKK yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    Pemilihan Darau Wetland Eco-Tourism sebagai lokasi lawatan delegasi merupakan langkah signifikan dalam mempromosikan ekonomi biru, iaitu pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan pesisir secara mampan.

    Menerusi lawatan ini, para peserta telah mengambil bahagian dalam aktiviti seperti penanaman pokok bakau, menyusuri lembangan Sungai Darau dengan menaiki bot serta melawat Rumah Budaya sambil menyaksikan demonstrasi pembuatan kuih tradisional dan produk pelancongan oleh komuniti Kampung Darau.

    DBKK akan terus mempromosikan lokasi-lokasi popular eko-pelancongan yang terdapat di Bandaraya Kota Kinabalu dalam usaha untuk memperkukuh ekonomi biru.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
    Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK