Skip to main content

Berita: KURSUS KENEGARAAN MALAYSIA MADANI PEMIMPIN MUDA DBKK DENGAN KERJASAMA AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA NEGERI SABAH

  • -

    06 NOVEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah menganjurkan Kursus Kenegaraan Malaysia Madani Pemimpin Muda DBKK dengan Kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, pada 30 Oktober hingga 01 November 2025.

    Seramai 100 orang anggota DBKK yang berumur 40 tahun ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya kelulusan Diploma telah menyertai kursus ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan sahsiah serta pembentukan jati diri warga kerja DBKK.

    Elemen pembelajaran telah diterapkan secara praktikal dan interaktif melalui aktiviti luar, ceramah motivasi, perbincangan serta latihan berkumpulan. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta mengenai konsep kenegaraan, tetapi juga membentuk semangat berpasukan, nilai kepimpinan dan integriti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

    Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu sambil diiringi oleh YBhg. Datin Shonitah binti Terang, Pengarah AKM Negeri Sabah. Hadir sama ialah Encik Abdul Mukti bin Haji Muchlish, Pengetua Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK dan Encik Darwis bin Dawing, Penolong Pengarah AKM Negeri Sabah.

    Dalam ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, penganjuran kursus ini bukan sekadar aktiviti latihan atau pengisian rutin organisasi semata, namun ia merupakan manifestasi komitmen DBKK dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan yang berwawasan, berjiwa besar dan berasaskan nilai kenegaraan dan kemanusiaan.

    Tambahnya, beliau berharap agar semangat anggota DBKK yang telah dibina di Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang ini akan diterjemahkan dalam penyampaian perkhidmatan yang lebih ikhlas, tangkas dan manusiawi.

    Kerjasama DBKK dan AKM Negeri Sabah akan terus diperkukuh seiring usaha melahirkan peserta yang berwibawa, memiliki semangat patriotisme yang tinggi dan menjalankan tugas dengan adil serta bertanggungjawab.

    Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
    Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK