Berita: PERASMIAN DATARAN MENARA JAM ATKINSON, KOTA KINABALU
1 November 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan berbesar hati memaklumkan bahawa Projek Pengindahan Menara Jam Atkinson telah siap dilaksanakan dan kini dibuka semula kepada orang ramai serta para pelancong.
Pelaksanaan projek ini disempurnakan tepat pada masanya menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, selaras dengan usaha memperkukuhkan daya tarikan pelancongan warisan di Kota Kinabalu.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK bersama para pegawai kanan DBKK, wakil-wakil agensi kerajaan, serta rakan kolaborasi pembangunan bandar.
Pelaksanaan projek ini bertepatan dengan ulang tahun ke-120 penubuhan Menara Jam Atkinson, mercu tanda warisan yang dibina pada tahun 1905 sebagai memperingati pegawai daerah pertama Jesselton, Francis George Atkinson.
Menara ini bukan sekadar struktur fizikal, malah menjadi saksi kepada sejarah perkembangan kota, daripada era kolonial dan zaman konflik, hingga ke era pembinaan sebuah bandar raya moden dan progresif. Kelangsungan menara ini melambangkan kekuatan identiti, ketahanan serta kesinambungan sejarah Kota Kinabalu.
Penambahbaikan yang dilaksanakan meliputi kerja-kerja pengindahan landskap, pembinaan laluan pejalan kaki hutan sepanjang kira-kira 500 meter menuju ke Signal Hill, penyediaan kemudahan awam mesra OKU, pemasangan papan tanda maklumat, tempat rehat, pencahayaan baharu serta sistem pemantauan keselamatan melalui CCTV.
Di samping itu, langkah-langkah mitigasi hakisan turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengunjung dan pemeliharaan struktur warisan.
DBKK komited melestarikan warisan sejarah bandar raya seiring pembangunan infrastruktur moden, dengan matlamat menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang berdaya huni, berdaya saing, serta kaya dengan nilai sejarah dan budaya.
DBKK turut menyeru kerjasama masyarakat untuk sama-sama memelihara dan menghargai khazanah ini agar ia terus terpelihara untuk generasi akan datang.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariLaporan disediakan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



