Berita: TINJAUAN AWAL, PENILAIAN POTENSI PRODUK PROGRAM PEMBANGUNAN PELANCONGAN LESTARI & BERINTEGRASI DI PULAU SEPANGGAR
19 FEBRUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat telah mengadakan tinjauan awal dan penilaian potensi produk bagi Program Pembangunan Pelancongan Lestari dan Berintegrasi di Pulau Sepanggar, pada 04 hingga 06 Februari 2026.
Pelaksanaan tinjauan awal ini bertujuan untuk mengenal pasti serta menilai potensi sumber pelancongan sedia ada yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan baharu dan akan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Seramai 30 orang peserta daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, swasta dan kepimpinan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program ini. Antaranya ialah wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan, Sabah Tourism Board, Taman-Taman Sabah, pengusaha resort di Pulau Sepanggar iaitu Traverse Tours Sdn Bhd dan Mari-Mari Dive & Lodge serta penyedia latihan komuniti iaitu SwePP Academy.
Turut terlibat ialah jabatan-jabatan dalaman DBKK seperti Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia serta DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Tinjauan yang berlangsung selama dua (2) hari ini dimulakan dengan sesi taklimat program dan keselamatan sebelum diteruskan dengan lawatan di sekitar Kampung Pulau Sepanggar. Selain itu, peserta turut melaksanakan tinjauan laluan Eko Hiking Trail di Mari-Mari Dive & Lodge dan Dreamerβs Island yang diketuai pegawai Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan Ukur bagi menetapkan cadangan laluan hiking. Melalui tinjauan ini, penandaan titik pandang (view point) telah dijalankan, selain mengenal pasti risiko laluan bagi tujuan pembangunan produk pelancongan yang lebih terancang dan selamat.
Antara inisiatif utama yang diutarakan ialah pembentukan laluan aktiviti mendaki ekologi, pelancongan mampan βSepanggar Island Experienceβ, program pelancongan pendidikan, ekspedisi saintifik serta aktiviti Citra Kasih : πΆππππ’πππ‘π¦ π‘π πΆππππ’πππ‘π¦ & Kempen βππππ πππ π‘π πΌπ ππππβ : πππ π‘π π‘π πππππ‘β".
Pembangunan pelancongan di Pulau Sepanggar selari dengan misi dan visi DBKK menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya peranginan semula jadi yang berdaya huni, hijau dan destinasi pilihan utama pelancongan bertaraf antarabangsa.
DBKK akan terus komited dalam usaha memperkasa pelancongan mampan menerusi inisiatif yang mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalakkan penglibatan komuniti serta memperkukuh ekonomi setempat.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelancongan dan Kesejahteraan Masyarakat, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



