Berita: HARI CUCI MALAYSIA PEMBERSIHAN MEGA SELURUH NEGARA PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU SEMPENA WORLD CLEANUP DAY 2026
29 SEPTEMBER 2026: Usaha kolektif sekitar 1,500 orang peserta menjadi kunci kepada kejayaan penganjuran Hari Cuci Malaysia: Pembersihan Mega Seluruh Negara Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu sempena World Cleanup Day 2026 yang diadakan di Perdana Park, Tanjung Aru pada 26 September 2026.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Dalam ucapan yang dibacakan, Dato’ Sri Mayor berkata, DBKK akan terus melaksanakan tanggungjawabnya melalui perkhidmatan pembersihan dan pengurusan sisa, tetapi keberkesanannya turut bergantung kepada sikap dan tindakan masyarkat.
Tegas beliau, semua pihak perlu bergerak daripada budaya “membersihkan apabila kotor” kepada budaya “mencegah daripada menjadi kotor”. Perubahan ini bermula dengan tindakan mudah, seperti tidak membuang sampah merata-rata, mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula dan memastikan sisa diurus dengan cara yang betul.
Turut hadir dalam program ini ialah YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah, DBKK merangkap Pengerusi Penganjur program; Dr. Ritchie Cheng, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru serta ketua-ketua jabatan, DBKK.
Sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan komitmen dalam menjayakan program ini, YBhg. Datuk Lifred turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 24 wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), institut pengajian tinggi, sektor swasta dan komuniti yang terlibat.
Sepanjang program berlangsung, peserta telah melaksanakan aktiviti pembersihan di sekitar Tanjung Aru yang merangkumi kawasan awam, parit dan bahu jalan, tapak penjaja serta pantai. Sebanyak lima (5) buah sekolah turut mengambil bahagian iaitu SK Tanjung Aru I, SK Tanjung Aru II, SK Stella Maris, SM Stella Maris dan SM La Salle.
Selain aktiviti pembersihan, program ini turut merangkumi inisiatif pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-waste), pembelian minyak masak terpakai serta kaunter pembelian barangan kitar semula yang memberi peluang kepada peserta untuk mengurus pelbagai jenis sisa dengan kaedah yang lebih sesuai.
Hasil kerjasama daripada semua peserta, sebanyak 34.5 tan sampah telah berjaya dikutip dan dilupuskan sepanjang program ini. Pada masa yang sama, sebanyak 1,581 kilogram barangan kitar semula, 1,427.10 kilogram e-waste dan 1,248 kilogram minyak masak terpakai turut berjaya dikumpulkan.
Hari Cuci Malaysia merupakan inisiatif kebersihan nasional yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez, Jabatan Perkhidmatan Pembersihan Bandaraya dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Pendigitalan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



