Skip to main content

Berita: Perasmian dan Kejayaan Program KK Cleanup Day 1.0 : Bandaraya Kota Kinabalu

  • Segama Waterfront

    11 JANUARI 2025 – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi berjaya melaksanakan Program KK Cleanup Day 1.0, yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.

    YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi hadir bersama dalam program tersebut.

    Turut hadir Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah DBKK, Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu, Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Program, Reduan Aklee, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.22 Tanjung Aru, serta pengurusan tertinggi DBKK.

    Program ini melambangkan komitmen berterusan DBKK untuk menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya bersih, hijau, dan biru, sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu.

    Lebih daripada 5,000 peserta terlibat dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk kampung, pelajar, kumpulan penjaja, pengusaha komersial, serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

    Majlis dimulakan dengan simbolik flag-off acara pembersihan darat, laut, dan pulau oleh Dato’ Sri Mayor bersama YB Datuk Chan Foong Hin.

    Dato’ Sri Mayor turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, termasuk mengecat rumah sampah, memantau pembersihan tumbuhan liar, dan melawat tandas awam yang telah diperindahkan di Jalan Sugut, Segama.

    Beliau juga merasmikan skimmer boat di Jeti Taman-Taman Sabah, yang menjadi inovasi penting dalam pembersihan sampah terapung di perairan pesisir.

    Sesi ini disusuli dengan sidang media, dengan perkongsian kejayaan program serta perancangan masa depan untuk memperkukuhkan inisiatif kelestarian bandar raya.

    Di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya, Dato’ Sri memantau kejayaan projek rumah sampah baharu dan menyaksikan usaha pembersihan oleh penduduk kampung. Aktiviti kreatif seperti demonstrasi kuih tradisional oleh para wanita di kampung berkenaan bersama Datin Sri Hajah Adreen Aderizza menyerikan program ini.

    Datin Sri turut menyampaikan 10 hamper kepada penduduk kampung sebagai penghargaan atas komitmen mereka.

    Dua inisiatif baharu diperkenalkan semasa program ini, iaitu Cabaran "Kampungku Bersih", yang menggalakkan persaingan sihat berdasarkan kebersihan dan keindahan landskap kampung, serta Upcycle@Recology, yang mengubah bahan buangan menjadi produk bernilai tinggi.

    Sepanjang tempoh 5 jam program berlangsung, lebih 100 tan sampah berjaya dikumpul dari kawasan awam, pasar, perairan pesisir, dan kampung kepulauan seperti Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.

    Dengan kejayaan ini, DBKK percaya program ini akan terus menginspirasi masyarakat untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan mendukung usaha kelestarian.

    Bersama, kita mampu merealisasikan visi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya hijau, mampan, dan menjadi contoh terbaik kepada komuniti lain.

    #KKCleanupDay
    #UpcycleRecology
    #KKBersihHijau
    #BandarayaKK25
    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPeranginanSemulajadi

    Laporan: Bella Berhaman
    Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli