Berita: PELAKSANAAN SISTEM PELUPUSAN SAMPAH SENDIRI (SPSS) DI INANAM TAIPAN
31 JANUARI 2026: Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS), iaitu inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, kini diperluaskan ke kawasan luar pusat bandar meliputi seluruh kawasan Inanam Taipan.
Hebahan notis pelaksanaan SPSS telah dilaksanakan dengan kerjasama DBKK dan pihak pengurusan Inanam Taipan pada 19 hingga 20 Januari 2026.
Menerusi pelaksanaan sistem ini, penduduk serta pengusaha premis makanan diwajibkan melupuskan sisa masing-masing secara terus ke lori kompaktor mengikut jadual yang ditetapkan. Sehubungan itu, penggunaan rumah sampah tidak lagi dibenarkan di kawasan pelaksanaan.
Pelaksanaan SPSS di Inanam Taipan yang berkuat kuasa mulai 01 Februari 2026 bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, mengurangkan lambakan sampah serta mengekang pembuangan sisa secara tidak terkawal, yang sebelum ini menjadi antara cabaran utama di kawasan berkenaan.
Pengutipan sampah akan dilaksanakan dua (2) kali sehari bagi setiap lokasi, dengan tempoh 20 minit bagi setiap sesi. Hanya sisa domestik dibenarkan untuk dilupuskan di bawah pelaksanaan SPSS.
Jadual pengutipan sampah adalah seperti berikut:
Tapak 1 (Berhampiran Ibis Hotel)
9.00 pagi – 9.20 pagi
5.00 petang – 5.20 petangTapak 2 (Berhampiran Mix Store)
9.30 pagi – 9.50 pagi
5.30 petang – 5.50 petangIndividu atau pengusaha premis yang didapati membuang sampah merata-rata atau melupuskan sisa di luar masa yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005. Nilai kompaun adalah tidak kurang daripada RM20 dan tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan.
DBKK merakamkan penghargaan kepada KK Taipan Management selaku Management Committee pertama yang menyahut pelaksanaan SPSS, sekali gus menunjukkan komitmen terhadap usaha memperkasakan kebersihan dan kelestarian bandar raya.
Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebersihan, kesihatan awam serta kelestarian Bandaraya Kota Kinabalu.
Setakat ini, lokasi yang telah melaksanakan SPSS sejak ia diperkenalkan pada 2019 ialah:
Kampung Air
Medan Selera Anjung Senja
Bandaran Berjaya
Kompleks Sinsuran
Jalan Padang dan Lorong Dewan
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



