Skip to main content

Berita: DBKK PERKUKUH TRANSFORMASI DIGITAL MENERUSI BENGKEL VERIFIKASI ENTERPRISE ARCHITECTURE (EA) SIRI 3

  • -

    13 FEBRUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh agenda transformasi digital menerusi penganjuran Bengkel Siri 3: Verifikasi Proses Perkhidmatan, Data dan Aplikasi Sedia Ada (As-Is) yang diadakan di Hotel Hilton, pada 11 Februari 2026.

    Bengkel yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini merupakan fasa penting dalam usaha memetakan landskap digital DBKK secara menyeluruh. Ia bertujuan untuk memastikan setiap proses perkhidmatan diselaraskan secara sistematik, sekali gus mengelakkan pertindihan sistem serta mengenal pasti penambahbaikan dan penyelesaian yang lebih efisien terhadap kekangan operasi semasa.

    YBrs. Prof. Dr. Ag. Asri Bin Ag. Ibrahim, Ketua Perunding Enterprise Architecture (EA), dalam ucapannya menegaskan bahawa proses verifikasi As-Is merupakan asas kritikal dalam membina pelan transformasi digital yang mampan dan berimpak tinggi kepada organisasi.

    Kehadiran barisan YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Ketua Jabatan serta Pegawai Kanan DBKK di bengkel ini mencerminkan komitmen padu pengurusan tertinggi dalam merealisasikan visi Kota Kinabalu sebagai sebuah Bandaraya Pintar yang progresif dan lestari.

    Inisiatif Enterprise Architecture (EA) ini dijangka menjadi pemacu strategik dalam mempertingkat kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada warga Kota Kinabalu, selaras dengan aspirasi pemodenan dan pendigitalan sektor awam Kerajaan Malaysia.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Teknologi Maklumat dan Pendigitalan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK