Berita: MAJLIS BERBUKA PUASA DBKK BERSAMA TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TAHUN 2026
3 MAC 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang Di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Binti Haji Tussin pada Isnin, 2 Mac 2026 bersamaan 12 Ramadan 1447H.
Keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama dan Toh Puan telah disambut oleh Dato’ Sri Dr Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dan Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohammad Soffi.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, serta Menteri Kabinet Negeri, Pembantu-Pembantu Menteri, Ketua-Ketua Jabatan, Setiausaha Tetap Kementerian, kepimpinan agensi Persekutuan dan Negeri, Konsul Negara Asing serta warga kerja DBKK.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan anak yatim, asnaf dan wakil masjid sekitar Kota Kinabalu sebagai tanda keprihatinan serta komitmen berterusan DBKK dalam memperkasa kebajikan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Seterusnya, majlis diserikan dengan penyampaian tazkirah Ramadan oleh Sahibus Samahah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar selaku Mufti Negeri Sabah dan diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh beliau bagi memohon keberkatan, kesejahteraan dan kemakmuran berterusan buat Negeri Sabah serta Bandaraya Kota Kinabalu, seterusnya memimpin para hadirin untuk berbuka puasa bersama-sama dalam suasana penuh kesyukuran dan keinsafan.
Bagi pengisian ibadah, solat Maghrib telah diimamkan oleh Mufti Negeri Sabah. Seterusnya, solat Isyak dan solat Tarawih telah diimamkan oleh Ustaz Zulfauzy bin Awang Besar, Pegawai Agama Istana Seri Kinabalu.
Majlis turut diisi dengan persembahan selingan Kumpulan Gambus Kuswari dan Kumpulan Qasidah Al Habsyi, Madrasah Pendidikan Tahfiz Al-Quran Nurul Furqan, Putatan sebelum para tetamu menunaikan solat Maghrib, diikuti jamuan makan malam, solat Isyak dan solat Tarawih serta moreh.
Penganjuran majlis ini mencerminkan semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam memperkukuh ukhuwah, memartabatkan nilai-nilai murni serta memastikan pembangunan bandaraya terus dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



