Skip to main content

Acara: HARI CUCI MALAYSIA 2025 PERINGKAT BANDARAYA KOTA KINABALU PADA 27 SEPTEMBER INI, SEMUA DIJEMPUT HADIR

Seiring usaha meningkatkan kebersihan dan kelestarian bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyasarkan penyertaan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi program Hari Cuci Malaysia 2025 yang kini kembali dengan momentum yang lebih tinggi.

Program ini akan berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat DBKK, pada 27 September 2025 (Sabtu) dan akan dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia, bersempena dengan World Cleanup Day. Lebih istimewa, edisi tahun ini juga diraikan bersama sambutan World Environmental Health Day, menjadikan penganjurannya lebih bermakna dan signifikan.

Objektif Hari Cuci Malaysia 2025 ialah seperti berikut:

  • Meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat

  • Memupuk tanggungjawab kolektif terhadap kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar

  • Mengukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti

  • Menangani isu sampah dan vektor melalui aktiviti pembersihan serta kempen kesedaran

  • Menggalakkan penyertaan besar-besaran rakyat Malaysia dalam aktiviti pembersihan serentak seluruh negara

  • Menyerlahkan imej Kota Kinabalu sebagai bandar raya pelancongan yang bersih, sihat dan mampan

Kerja-kerja pembersihan terbahagi kepada empat (4) komponen utama di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Antaranya ialah pembersihan kawasan awam, pembersihan kawasan pasar, pembersihan perairan laut serta pembersihan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.

Untuk maklumat lanjut berkaitan program ini, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK selaku urus setia boleh dihubungi di talian 011-51341547 (Whatsapp) atau layari Facebook “KK Bersih & Hijau” untuk mengikuti perkembangan inisiatif semasa.

Penganjuran sulung Hari Cuci Malaysia pada tahun lalu menyaksikan sebanyak 127 tan sampah telah berjaya dikutip dan dilupuskan, hasil kerjasama dan dedikasi daripada semua pihak yang menyumbang tenaga sepanjang program berlangsung.

Ayuh warga Kota Kinabalu, berganding bahu demi bandar raya yang lebih bersih, sihat dan lestari. Semua dijemput hadir!

Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
Suntingan: Bahagian Media dan Komunikasi, JPPA

#HariCuciMalaysia2025
#WorldCleanupDay
#WorldEnvironmentalHealthDay
#MalaysiaMADANI
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPIntarDanLestari
#KKBersihDanHijau

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK