Berita: MAJLIS PRA PELANCARAN OPERASI BOT PELANCONG DI JETI DBKK, BAKAL MENJADI PINTU UTAMA KE DESTINASI PULAU SEKITAR KOTA KINABALU
09 SEPTEMBER 2025: Majlis Pra Pelancaran Operasi Bot Pelancong di Jeti DBKK anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui DBKK Holdings Sdn. Bhd. (DBKKH) telah berlangsung dengan jayanya di Horizon Hotel, pada 08 September 2025.
Pengoperasian Jeti DBKK ini dijangka akan menjadi platform yang menghubungkan pulau-pulau di bawah Taman Tunku Abdul Rahman yang sering menjadi tumpuan pelancong. Antaranya ialah Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Mamutik, Pulau Gaya, Pulau Sulog dan Pulau Mengalum.
Hadir menyempurnakan majlis ialah YBhg. Dato' Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohamad Soffi, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Daerah Kota Kinabalu.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Mayor berkata bahawa pulau-pulau ini merupakan khazanah pelancongan bagi negeri Sabah. Kehadiran Jeti DBKK bakal menjadi pintu masuk utama yang bukan sahaja memperkukuh akses pelancong ke pulau-pulau berkenaan, malah memastikan pengalaman yang lebih selesa, teratur dan selamat selaras dengan pengurusan pelancongan yang berkualiti.
Dalam majlis yang sama, Dato' Sri Mayor turut menyempurnakan Majlis Menandatangani Surat Lantikan Ejen Pemungut Hutang DBKKH.
Langkah melantik ejen pemungut hutang secara rasmi ini dapat memastikan proses kutipan tunggakan dapat dijalankan dengan lebih sistematik, telus dan berkesan.
Turut hadir ialah Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), DBKK; Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK; Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), DBKK dan Encik Jimon Jahim, Pengarah Eksekutif DBKKH.
DBKK mengalu-alukan para pengusaha bot pelancong dan pemain industri pelancongan untuk beroperasi di Jeti DBKK. Sistem operasi yang lebih efisien dan adil akan diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada semua pihak.
Semoga kerjasama erat yang terjalin di antara DBKK dan pengusaha bot, agensi pelancongan dan komuniti menjadi pemacu kepada kemajuan industri pelancongan marin di negeri ini.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez & DBKK Holdings Sdn. Bhd.#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



