Skip to main content

Berita: LAWATAN MESRA YANG BERHOMAT TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP (KPDN) DI PASAR PAGI GAYA STREET

  • -

    16 NOVEMBER 2025: YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), telah mengadakan lawatan mesra ke Pasar Pagi Gaya Street, salah satu lokasi warisan komuniti yang menjadi nadi ekonomi kecil di Bandaraya Kota Kinabalu. Turut mengiringi YB Timbalan Menteri ialah Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian.

    Lawatan turut disertai kepimpinan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang terdiri daripada Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi, Sairullizam bin Sukor, Pengarah Jabatan Perundangan, Rozie Khan, Pengarah Perlesenan, dan Haniff Abdullah, Pengarah Penguatkuasa, bersama pegurusan serta pegawai kanan DBKK.

    Kehadiran kedua-dua agensi ini menggambarkan kerjasama erat dalam menyantuni komuniti peniaga dan menyokong kelangsungan ekonomi setempat.

    Kunjungan ke gerai-gerai 525 penjaja berlangsung dalam suasana santai dan mesra. Delegasi berpeluang berinteraksi secara langsung dengan para penjaja, mendengar pengalaman mereka, serta memberi ruang kepada pertukaran pandangan yang bermanfaat.

    Hubungan positif antara penjaja dan pihak berkuasa tempatan ini menjadi asas penting kepada pembangunan ekosistem perniagaan mikro yang lebih inklusif dan sejahtera.

    YB Timbalan Menteri turut menghargai usaha penjaja yang mengekalkan pemasangan tanda harga secara teratur dan jelas. Amalan ini bukan sahaja memudahkan pengguna membuat pilihan, malah menunjukkan disiplin peniaga dalam mengutamakan keteraturan dan keyakinan pelanggan.

    Delegasi turut tertarik dengan kekayaan produk tempatan Sabah yang menjadi daya tarikan utama Pasar Pagi Gaya Street. Pelbagai hasil tani segar, makanan tradisi, kraftangan, herba unik, serta produk buatan tangan masyarakat setempat mempamerkan keindahan kreativiti dan identiti budaya Sabah yang tersendiri.

    Kepelbagaian ini menjadikan Pasar Pagi Gaya Street bukan sekadar pusat jual beli, tetapi ruang sosial yang menghubungkan komuniti melalui warisan dan kreativiti tempatan.

    Secara keseluruhannya, lawatan ini mencerminkan komitmen bersama KPDN dan DBKK dalam mendekati masyarakat, menyokong peniaga kecil, serta memperkukuh keharmonian antara penjaja, pengguna dan kerajaan.

    DBKK akan terus berusaha mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif, tersusun dan mampan, agar Pasar Pagi Gaya Street kekal menjadi ikon komuniti yang hidup, mesra dan progresif di Bandaraya Kota Kinabalu.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Laporan disediakan oleh:
    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar