Berita: MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN KURSUS ASAS PENGUATKUASA TAHUN 2025
02 DISEMBER 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah telah menganjurkan Kursus Asas Penguatkuasa Tahun 2025, bertempat di Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, pada 02 hingga 22 November 2025.
Seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada anggota DBKK di Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan telah berjaya menamatkan kursus ini, yang bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Kecil (UUK).
Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan keupayaan operasi lapangan, memupuk profesionalisme dan integriti, meningkatkan keberkesanan pengurusan keselamatan dan kebersihan bandar raya serta meningkatkan kerjasama berpasukan dan ketahanan mental peserta.
Majlis Perasmian Penutupan kursus telah disempurnakan oleh Encik Karim bin Haji Rahim, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan), DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Hadir sama ialah Pesuruhjaya RELA Darman bin Dabang, Pengarah RELA Negeri Sabah; Encik Abdul Mukti bin Haji Muchlish, Pengetua Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK dan Encik Mohd. Haniff bin Haji Abdullah, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, DBKK.
Sebagai penutup tirai kursus, para tetamu yang hadir telah dipersembahkan dengan Persembahan Khas oleh peserta kursus dan wakil RELA Negeri Sabah, diikuti dengan tayangan video “Kursus Asas Penguatkuasa: 3 Minggu Penuh Makna” yang menggambarkan perjalanan penuh cabaran, disiplin dan pencapaian para peserta.
Majlis turut menyaksikan Penyampaian Sijil Anugerah Peserta Cemerlang, berikut adalah senarai penuh penerima anugerah:
Anugerah Peserta Cemerlang Keseluruhan Terbaik : Encik Mohd Afiq Muhimian
Anugerah Peserta Cemerlang Akademik Terbaik : Puan Nurfadillah binti Nordin
Anugerah Peserta Cemerlang Kawad Terbaik : Encik Carlos Albento
Melalui penganjuran kursus ini, adalah diharapkan agar disiplin, nilai-nilai murni dan integriti dapat terus diperkukuh dalam kalangan peserta sebagai anggota penguat kuasa beruniform. Tahniah kepada semua peserta!
Sumber Info dan Foto: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDisediakan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



