Berita: AKM, DBKK ANJUR SEMINAR KENEGARAAN MALAYSIA MADANI WARGA DBKK
21 JULAI 2025: Lebih 400 kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menghadiri Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Warga DBKK yang diadakan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, pada 01 Julai 2025.
Program ini merupakan hasil kolaborasi DBKK bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah yang bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman berkaitan kenegaraan, gagasan dan inisiatif Malaysia MADANI, serta cabaran penjawat awam dalam era pasca normal.
Majlis Perasmian Penutupan seminar telah disempurnakan oleh Encik Victor Gerard Kuasi, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Kewangan), DBKK.
Antara pengisian seminar ini ialah “Sesi Interaktif Kenegaraan” yang dikendalikan oleh Encik Darwis bin Dawing dan “Input Malaysia MADANI” yang disampaikan oleh Datin Shonitah binti Terang, Pengarah AKM Negeri Sabah.
Majlis kemudian diteruskan dengan forum bertajuk “Cabaran Penjawat Awam Dalam Era Pasca Normal” yang menampilkan barisan panel yang terdiri daripada YBhg. Datuk Amin bin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Encik Haji Sainuri Yahmin, Pengerusi CONCERN.
Penganjuran seminar ini bertujuan untuk memberikan input kepada para peserta menerusi kaedah perkongsian peranan AKM dan sesi interaktif kenegaraan yang berkisarkan sejarah serta konsep Malaysia MADANI.
Semoga kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang dalam usaha mempertingkatkan jati diri, daya kepimpinan tinggi dan semangat patriotik dalam kalangan warga DBKK!
Sumber Info: Akademi Pusat Pembelajaran Bandaraya, DBKK
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



