Skip to main content

Berita: TINJAUAN KEBERSIHAN TANDAS DAN PEMATUHAN DI SEKITAR BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    11 FEBRUARI 2026: Pada 6 Februari yang lalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah mengadakan tinjauan kebersihan ke atas tandas-tandas awam dan tandas premis perniagaan khususnya restoran-restoran di sekitar kawasan pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

    Tinjauan ini bertujuan menilai tahap kebersihan tandas, pematuhan kepada syarat-syarat penyelenggaraan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), serta

    keadaan kebersihan persekitaran premis secara keseluruhan.

    Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada aspek penyelenggaraan kemudahan asas, sistem pembuangan sisa,

    pengudaraan, bekalan air, serta tahap keselesaan dan keselamatan pengguna.

    Dalam tinjauan tersebut, Dato’ Sri Mayor menegaskan bahawa tandas awam dan tandas premis makanan merupakan cerminan tahap kebersihan sesebuah bandar serta sikap pengurusan premis terhadap kesihatan awam.

    Sehubungan itu, pengusaha premis diingatkan agar sentiasa memastikan kemudahan tandas berada dalam keadaan bersih, berfungsi dengan baik dan diselenggara secara berkala, selaras dengan piawaian dan undang-undang kecil DBKK yang berkuat kuasa.

    Sebarang ketidakpatuhan yang dikenal pasti akan diberi perhatian dan diambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan sedia ada.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK

    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Mohd. Asruddey Rusli
    Jurugambar