Berita: SISTEM PELUPUSAN SAMPAH SENDIRI (SPSS) DI JALAN PADANG DAN LORONG DEWAN TELAH BERMULA
02 MEI 2025: Pelaksanaan rasmi Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) bagi kawasan Jalan Padang dan Lorong Dewan telah bermula pada 01 Mei 2025. Seawal pagi, kelihatan penduduk dan pengusaha premis mula melupuskan sampah masing-masing terus ke lori pengutipan mengikut jadual masa yang telah ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Sebagai langkah pemantauan awal, Ops Bersih turut digerakkan oleh anggota Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK bagi memastikan kelancaran pelaksanaan SPSS serta memberi penerangan kepada masyarakat setempat.
Pada peringkat permulaan ini, pendekatan berhemah diambil di mana anggota DBKK akan menegur dan menasihati individu yang masih membuang sampah di luar waktu pelupusan yang ditetapkan. Bagaimanapun, tindakan kompaun akan dikeluarkan sekiranya kesalahan berulang, selaras dengan peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Anti Litter 1984 (Pindaan 2005).
DBKK menyeru semua penduduk dan pengusaha untuk mematuhi jadual pelupusan SPSS, menghentikan penggunaan rumah sampah yang telah ditutup dan terus memberi kerjasama demi menjayakan usaha mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan kondusif untuk semua.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan info semasa dan perkembangan pelaksanaan melalui laman media sosial rasmi, Facebook dan TikTok: KK Bersih dan Hijau.
Masa Pelupusan Sampah SPSS:
(1) King Park Hotel, Jalan Padang
9.30 pagi - 9.50 pagi
9.30 malam - 9.50 malam
(2) Padang Merdeka, Jalan Padang
10.00 pagi - 10.20 pagi
10.00 malam - 10.20 malam
(3) Dewan Masyarakat KK, Lorong Dewan
10.30 pagi - 10.50 pagi
10.30 malam - 10.50 malam
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK



