Skip to main content

Berita: YAB PERDANA MENTERI SANTUNI WARGA KOTA KINABALU DI PASAR PAGI GAYA STREET

  • -

    9 November 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa berbesar hati atas keberangkatan YAB Perdana Menteri Malaysia yang telah berkenan meluangkan masa bersama warga Kota Kinabalu di Pasar Pagi Gaya Street, Jalan Gaya, pada pagi ini.

    Ketibaan YAB Perdana Menteri disambut dengan penuh kemeriahan dan penghormatan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, bersama barisan kepimpinan DBKK serta warga bandar raya yang hadir bagi memeriahkan suasana.

    Lawatan santai ini membuka ruang kepada YAB Perdana Menteri untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, menyapa para peniaga kecil serta menikmati suasana pasar rakyat yang sinonim dengan identiti dan warisan budaya Kota Kinabalu.

    Sepanjang kunjungan tersebut, YAB Perdana Menteri turut meninjau gerai-gerai peniaga, mendengar pandangan masyarakat, serta menyantuni para pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara. Kehadirannya yang mesra dan mudah didekati telah menceria dan memeriahkan suasana di kalangan orang ramai, serta menggambarkan pendekatan kepimpinan yang dekat di hati rakyat.

    Dalam semangat tersebut, DBKK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YAB Perdana Menteri turun padang menyantuni rakyat di Gaya Street, sebuah mercu warisan rakyat Sabah yang mempamerkan keunikan budaya, kepelbagaian komuniti dan kekuatan ekonomi setempat.

    DBKK kekal komited untuk meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan Kota Kinabalu terus berkembang sebagai pusat pelancongan, ekonomi, dan kehidupan komuniti yang sejahtera.

    Selaras dengan aspirasi pembangunan bandaraya moden yang mampan, harmoni, dan inklusif, DBKK menyeru seluruh masyarakat agar terus menyokong usaha pemerkasaan ruang awam seperti Pasar Gaya Street, memelihara warisan budaya, serta memperkukuh semangat kekitaan demi kemajuan, kesejahteraan, dan kelestarian Kota Kinabalu serta negeri Sabah yang tercinta.

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Laporan disediakan oleh:
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Sumber Foto
    Mohd. Asruddey Rusli, Mohd. Khairul Anwar Ahmad