Berita: MAJLIS PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN JAWATANKUASA PENGURUSAN DESA BOTANI DEWAN BANDARAYA KOTA KINABALU (DBKK)
12 FEBRUARI 2026 - Pada 11 Februari 2026, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Desa Botani, sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus komuniti serta memastikan pembangunan Desa Botani di Bukit Padang dilaksanakan secara terancang, mampan, dan berpaksikan kesejahteraan penduduk.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang Bertanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, dan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, bersama barisan pengurusan tertinggi DBKK, ketua-ketua jabatan, serta wakil komuniti Desa Botani Bukit Padang.
Dalam ucapan YB Datuk Joniston Bangkuai merakamkan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Pengurusan Desa Botani yang menerima watikah pelantikan. Beliau menegaskan bahawa pelantikan ini merupakan satu amanah dan kepercayaan rakyat, serta menggariskan tanggungjawab jawatankuasa untuk memastikan pengurusan komuniti dilaksanakan secara bertanggungjawab, berintegriti, dan berorientasikan kesejahteraan penduduk.
Majlis ini turut memperkenalkan kepimpinan utama jawatankuasa yang dilantik, Encik Peter B. Suking sebagai Pengerusi dan Encik Nailon. Bin Noisip sebagai Timbalan Pengerusi.
Kedua-duanya akan memimpin jawatankuasa dalam mengurus komuniti Desa Botani, menjadi penghubung utama antara penduduk dan pihak berkuasa tempatan, serta memastikan pembangunan, penyelenggaraan kemudahan awam dan aktiviti komuniti dijalankan secara tersusun, selamat, dan harmoni.
Penubuhan jawatankuasa ini adalah sejajar dengan keperluan tadbir urus bandar yang menekankan penglibatan komuniti secara berstruktur. Jawatankuasa ini berperanan menyampaikan keperluan penduduk, memantau pengurusan kemudahan awam, menjaga kebersihan dan landskap kawasan, serta menyokong persekitaran yang selamat, teratur, dan harmoni.
Desa Botani bukan sahaja akan menjadi komuniti hijau yang berdaya huni, malah dijangka berkembang sebagai salah satu pusat eko-pelancongan utama di Kota Kinabalu. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan pelancongan bandar, tetapi juga menaikkan imej Kota Kinabalu sebagai bandar progresif, moden, dan mesra alam.
Pada masa yang sama, projek ini memberi nilai tambah kepada Sabah secara keseluruhan, mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan eko-botanikal yang mampu menarik pelawat tempatan dan antarabangsa.
Pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Desa Botani DBKK ini selaras dengan Aspirasi Sabah Maju Jaya dan kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), yang menekankan pembangunan mampan, pemerkasaan komuniti, dan tadbir urus berasaskan kolaborasi.
DBKK komited untuk terus bekerjasama dengan jawatankuasa yang dilantik bagi memastikan pembangunan Desa Botani memberi manfaat kepada komuniti, memperkukuh imej Kota Kinabalu sebagai bandar hijau, dan menyumbang kepada pembangunan pelancongan serta kesejahteraan rakyat di Sabah.
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
Bella Berhaman
Pegawai PeneranganMohd. Asruddey Rusli
Jurugambar



