Skip to main content

Berita: SESI WALKABOUT SEKITAR TAMU BESAR TAHUN BAHARU CINA SEGAMA, SANTUNI PENJAJA DAN PENGUNJUNG

  • -

    17 FEBRUARI 2026: Pembukaan lebih 600 lot gerai telah menyemarakkan suasana di Jalan Tun Fuad Stephens bersempena dengan Tamu Besar Tahun Baharu Cina Segama yang berlangsung bermula 2 petang hingga 1 pagi, pada 15 Februari 2026.

    Deretan lot gerai dan kenderaan makanan yang menawarkan pelbagai jenis barangan, makanan tradisional, kraftangan, pakai serta keperluan perayaan bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung tempatan, malah turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai kemeriahan suasana menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

    Hadir meninjau dan menyantuni penjaja dan pengunjung di sekitar tapak tamu ialah YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu serta barisan Pengurusan Tinggi dan Ketua-ketua Jabatan, DBKK.

    Dalam menyantuni para peniaga dan pengunjung yang berada di sekitar Segama, rombongan turut mengedarkan kalendar Tahun Baharu Cina 2026 sebagai simbol ucapan perayaan dan penghargaan.

    Penganjuran Tamu Besar Tahun Baharu Cina Segama bukan sekadar platform jualan, tetapi juga menjadi ruang pertemuan yang mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

    Liputan: Eleanor Michelle Patrick
    Foto: Renaldo Fernandez

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Bahagian Media dan Komunikasi
    JPPA, DBKK