Berita: DBKK, MRF LANCAR ‘MOBULA 8’, PERANGI PENCEMARAN PLASTIK DI PERAIRAN BANDARAYA KOTA KINABALU’
08 MEI 2025: Dalam usaha untuk memerangi pencemaran plastik di perairan sekitar bandar raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama erat Marine Research Foundation (MRF) telah melancarkan ‘Mobula 8’, sebuah kapal skimmer yang mengumpul dan membuang sisa plastik marin, di Gaya Island Resort (GIR), pada 07 Mei 2025.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam teks ucapannya, Dato’ Sri Mayor berkata, usaha ini merupakan bukti signifikan terhadap kesungguhan DBKK dalam menangani ancaman pencemaran marin yang semakin meningkat, sekali gus memelihara kelestarian alam sekitar di Bandaraya Kota Kinabalu.
Tambah beliau, perasmian kapal skimmer ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah ‘Marine Plastics Cleanup Project’, sebuah kolaborasi di antara DBKK dan MRF, dalam melaksanakan pendekatan strategik dan berasaskan sains bagi pengurusan sisa marin.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Sri Mayor turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MRF dan GIR masing-masing diwakili oleh Dr. Nicolas J. Pilcher, Pengasas dan Pengarah Eksekutif, MRF dan Encik Justin Juhun, Director of Conservation, GIR.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Wayne Lee, Naib Presiden, GIR; Datuk Haji Datu Rosmadi bin Datu Sulai, JP, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya; Dr. Firdausi Suffian, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad; Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK dan Encik Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK.
Sebelum majlis berakhir, rombongan ini turut diberi taklimat dan demonstrasi ringkas berkaitan fungsi dan cara pengoperasian ‘Mobula 8’, dalam usaha mengutip sisa plastik di perairan laut sekitar Gaya Island Resort.
Sebagai hab perikanan dan pelancongan utama, Bandaraya Kota Kinabalu amat terdedah kepada pencemaran plastik. Dalam usaha untuk menangani cabaran ini, DBKK telah memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya dengan memperkenalkan kempen “Hari-Hari Bawa Beg Bah” dan penubuhan Pusat Lestari Kota Kinabalu, yang membolehkan orang ramai mengitar semula barangan terpakai, sisa elektronik dan minyak masak terpakai.
Terdahulu, pada 09 April 2025, DBKK telah menandatangani MoU bersama MRF, Legenda Bumimas Sdn. Bhd. dan My Protech Sdn. Bhd (Arus Oil), dalam usaha untuk menangani isu yang memberi kesan kepada alam sekitar, kesihatan awam dan imej bandar raya secara strategik dan berimpak tinggi.
Semoga jalinan kerjasama DBKK bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan terus diperkukuh dalam usaha untuk menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni.
Tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariBahagian Media dan Komunikasi
JPPA, DBKK



