Berita: “KOTA YANG MENULIS ADALAH KOTA YANG HIDUP” LANGKAH STRATEGIK KE ARAH PENGIKTIRAFAN UNESCO: KOTA KINABALU DIPERKASA SEBAGAI KOTA SASTERA
23 JULAI 2025: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneruskan langkah proaktif ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebagai salah sebuah Kota Sastera di bawah rangkaian UNESCO Creative Cities Network (UCCN) menerusi penganjuran Malam Manifestasi ke Arah Pengiktirafan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera UNESCO dan Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Bahasa dan Sastera (SELASIH) Tahun 2025.
Majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Pendidikan dan Exco Agama Negeri Sabah, yang turut menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan bahasa dan sastera tempatan.
Dato’ Sri Mayor dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha ke arah pengiktirafan ini bukan sekadar simbolik, malah satu strategi pembangunan budaya dan minda masyarakat. Sastera menurut beliau bukan hanya seni kata, tetapi wadah penyampaian suara rakyat, pencatat sejarah, dan jambatan antara generasi. Maka, menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera merupakan ikhtiar memperkasa nilai kemanusiaan dan jati diri bandar raya yang sedang menuju status Hijau, Pintar dan Sejahtera menjelang 2040.
Program tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan SELASIH kepada pelbagai persatuan bahasa dan sastera di Sabah. Inisiatif ini berperanan penting dalam menyokong pembangunan ekosistem kreatif melalui penerbitan karya asli, bengkel penulisan, serta memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan perpustakaan awam.
Dato’ Sri Mayor turut menekankan peranan Sabah sebagai negeri berbilang etnik yang kaya dengan khazanah bahasa dan budaya. Pengiktirafan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera dilihat sebagai penghargaan terhadap naratif warisan, kisah, puisi, dongeng dan hikayat, yang diwariskan dari generasi ke generasi.
Beliau juga menyatakan bahawa gabungan semangat kolektif antara DBKK, agensi kerajaan, badan sastera dan komuniti menaikkan semangat dalam mencapai aspirasi Kota Sastera.
Tambahan pula, usaha ini akan menyemai budaya membaca dan menulis, memperkasakan pemikiran kritis dan memberi ruang kepada sasterawan serta pemikir untuk terus berkembang.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), YBhg. Datuk Mohd Hanafiah bin DSP Mohd. Kassim selaku pengerusi bersama, serta barisan kepimpinan pelaksana daripada DBKK, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, dan Persatuan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), yang bersama-sama menjayakan acara berimpak tinggi ini.
“Kota yang menulis adalah kota yang hidup,” ujar Dato’ Sri Mayor mengakhiri ucapannya, seraya menyeru semua pihak agar terus menulis, terus berkarya, dan terus memberi cahaya kepada masa depan bangsa dan negara.
Laporan: Bella Berhaman
Sumber Foto: Mohd. Asruddey Rusli



