Berita: OPERASI PENGUATKUASAAN DI ANJUNG KINABALU
20 JANUARI 2026: Bagi memastikan tahap pematuhan penjaja terhadap peraturan yang ditetapkan sentiasa berada pada tahap terbaik, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan telah melaksanakan satu operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan D’Walai Mutiara, D'Walai Mata Biru dan D'Walai Haruman, Anjung Kinabalu pada 20 Januari 2026.
Operasi ini melibatkan kekuatan anggota seramai 10 orang, yang terdiri daripada Inspektor Pelesenan DBKK serta pegawai dari Bahagian Pengurusan Pasar.
Lebih 140 penjaja telah diperiksa dan hasil pemeriksaan mendapati beberapa penjaja gagal mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan. Sehubungan itu, sebanyak empat (4) kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 3(12) atas kesalahan tidak mempamerkan lesen.
Selain tindakan pengkompaunan, Notis Pematuhan Peraturan Menjaja turut dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan lain, antaranya tidak memiliki Kad Pembantu yang sah. Peniaga terlibat telah diberikan tempoh yang ditetapkan untuk mengemukakan dokumen berkaitan serta mematuhi syarat-syarat perlesenan yang ditetapkan.
DBKK akan meneruskan pemeriksaan susulan secara khusus ke atas penjaja yang telah diberikan Notis Pematuhan di kawasan Anjung Kinabalu. Selain itu, pemeriksaan akan dilaksanakan di kawasan-kawasan lain sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, semua penjaja diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan syarat perlesenan yang ditetapkan demi mewujudkan persekitaran bandar raya yang teratur, selamat dan lestari.
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



