Skip to main content

Berita: DBKK LAKSANA OPERASI BERSEPADU, PERKUKUH PEMATUHAN UNDANG-UNDANG DI SEKITAR BANDAR RAYA

  • -

    22 JANUARI 2026: Dalam usaha untuk melaksanakan operasi bersepadu bagi meningkatkan pematuhan Undang-undang Kecil (UUK), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan mulai menggerakkan Ops Payung secara berterusan, mengikut peringkat di seluruh kawasan pentadbiran bandar raya.

    Tujuan utama operasi ini ialah untuk menangani isu penjaja tanpa lesen, aktiviti perniagaan tidak teratur dan pelanggaran UUK DBKK yang akan menjejaskan keselamatan, kebersihan dan keselesaan awam. Selain itu, ia juga merupakan langkah proaktif DBKK dalam memastikan keadilan kepada peniaga-peniaga berlesen yang patuh kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

    Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara tegas, adil dan berhemah selaras dengan peruntukan UUK yang berkuat kuasa. DBKK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menghalang laluan awam, mengganggu ketenteraman serta menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

    Sebagai langkah awal pelaksanaan operasi ini, DBKK akan mengambil pendekatan pendidikan dan nasihat bagi meningkatkan kesedaran, sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang masih gagal mematuhi peraturan.

    Sehubungan itu, orang awam dan peniaga diseru untuk patuh kepada syarat lesen dan peraturan yang berkuat kuasa.

    Dalam masa yang sama juga, Jabatan Penguatkuasaan, DBKK dengan kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan Operasi Khas Bersepadu, di Pusat Pelupusan Kayu Madang, pada 20 Januari 2026.

    Operasi yang diadakan bermula 9 pagi hingga 11 pagi ini bertujuan untuk membanteras aktiviti pencerobohan, mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memastikan pematuhan undang-undang di kawasan yang berisiko.

    Hasil daripada operasi ini, dua (2) individu telah ditangkap kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tiga (3) individu telah ditahan kerana memiliki dokumen IMM13 untuk tindakan lanjut. Tindakan tegas turut diambil bagi kes pencerobohan kawasan yang telah dikenal pasti.

    Kerjasama erat antara agensi menjadi faktor yang menyumbang kepada kejayaan operasi dalam pencapaian objektif yang ditetapkan. Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa dalam memastikan keselamatan awam dan pematuhan undang-undang sentiasa terpelihara.

    DBKK akan terus komited dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara berterusan demi memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selamat dan berdaya huni.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Penguatkuasaan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK