Berita: Kunjungan Hormat Jawatankuasa Pejabat Pertanian Dan Hal Ehwal Luar Bandar Kongres Rakyat Provinsi Hubei, DBKK Tekuni Potensi Industri Pertanian

10 JULAI 2024: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) baru-baru ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Pengarah Jawatankuasa Pejabat Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Kongres Rakyat Provinsi Hubei, Wuhan, China.
Ketibaan delegasi yang diketuai oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa, Liu Xiaoming, telah disambut oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu.
Menerusi pertemuan ini, kedua-dua pihak telah menyatakan komitmen bersama dalam meneroka dan merungkai potensi sinergi khususnya dalam bidang pertanian dan prospek pertukaran produk pasaran. Sesi diskusi turut mengupas beberapa aspek terkait sektor pertanian seperti amalan pertanian mampan, pembangunan teknologi moden dan potensi pasaran bagi produk pertanian di kedua-dua wilayah.
Turut serta dalam delegasi ini adalah Feng Zhongkai, Pengerusi Jawatankuasa; Tu Shenghua, Naib Pengerusi Jawatankuasa; Wu Hong, Pengarah Pejabat Jawatankuasa; dan Gong Dejun, Timbalan Pengurus Besar Guoying Seeds Industrial Co, Ltd.
Seluruh warga DBKK amat berbesar hati menerima kunjungan daripada delegasi Pengarah Jawatankuasa Pejabat Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Kongres Rakyat Provinsi Hubei, Wuhan, China. Semoga pertemuan ini akan menjana kejayaan dan pembangunan kepada kedua-dua pihak.



