Skip to main content

Berita: Program Kesedaran Kesihatan Persekitaran Di SM All Saints, Ke Arah Komuniti Sihat Dan Alam Sekitar Terpelihara

  • SM All Saints

    Liputan: Dayangku Maya Maysara | Sumber Foto: Renaldo Fernandez

    Seiring usaha memperkukuh kesedaran kesihatan awam dan persekitaran, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dengan jayanya menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Persekitaran Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia di Sekolah Menengah (SM) All Saints, hari ini.

    Mengangkat tema “Sekolah Sihat, Komuniti Sejahtera”, program ini bukan sahaja menghimpunkan pelajar dan staf sekolah, tetapi juga melibatkan komuniti dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam aktiviti bermakna yang menyokong kesedaran kesihatan persekitaran.

    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah, DBKK, yang mewakili YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan pendidikan awal dalam membentuk generasi yang prihatin terhadap alam sekitar dengan menyebut, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” mengajak semua pihak untuk mendidik anak muda tentang pentingnya menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar sejak awal.

    Turut hadir Encik Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK, merangkap Yang Dipertua PIBG SM All Saints, yang bertindak sebagai Pengerusi Pelaksana Program serta Cik Ernah binti Wagimin, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Dr. Noraziah binti Bakri, Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, serta Dr. Mary Gambidau, Pengetua SM All Saints. Selain itu, hadir sama dalam program ini adalah Pn. Daisy Aloysius, Timbalan Pengarah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah dan Dr. Naomi Martin, Penolong Pengarah, Wilayah Kota Kinabalu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.

    Antara inisiatif yang mencuri perhatian dalam program ini ialah Kempen “Hari-Hari Bawa Beg Bah”, satu usaha berterusan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik dengan memperkenalkan beg guna semula kepada pelajar dan komuniti. Acara simbolik penyerahan sumbangan 30 anak pokok turut disempurnakan sebagai satu peringatan akan pentingnya menghijaukan persekitaran kita demi masa depan yang lebih baik.

    Program ini turut menampilkan sesi ceramah yang mengupas isu-isu berkaitan kesihatan persekitaran. Fokus utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kebersihan dan keselamatan makanan, amalan tandas bersih, serta pencegahan penyakit bawaan LiLaTiN (Lipas, Lalat, Tikus, dan Nyamuk). Selain itu, ceramah mengenai penjagaan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab serta kesedaran mengenai kebajikan haiwan dan kempen menentang wabak denggi berjaya menarik tumpuan hadirin. Disamping itu, topik ceramah berhubung penyelenggaraan tanaman hiasan serta penguatkuasaan undang-undang turut dibentangkan. Sesi soal jawab yang menyusul setiap ceramah memberikan peluang kepada peserta untuk mendalami lagi maklumat yang disampaikan, sekaligus menyemarakkan semangat untuk bersama menjaga persekitaran.

    Turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pelajar sekolah atas kemenangan dan saguhati dalam pertandingan melukis poster. Pertandingan ini membolehkan pelajar menonjolkan bakat mereka dalam menyampaikan mesej penting mengenai kebersihan alam sekitar.

    Program ini mencerminkan komitmen DBKK dan SM All Saints dalam usaha memelihara persekitaran yang sihat dan selamat. Dengan kerjasama padu daripada pelbagai pihak, program ini diharapkan dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk turut sama menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan alam sekitar yang lebih bersih dan lestari.