Berita: PELAKSANAAN SISTEM PELUPUSAN SAMPAH SENDIRI (SPSS) DI PUSAT KOMERSIAL SALUT
19 MAC 2025: Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) yang merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal kini diperluaskan ke kawasan luar pusat bandar, iaitu Pusat Komersial Salut yang telah dikuatkuasakan bermula 01 Mac 2026.
Pelaksanaan sistem ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, mengurangkan lambakan sampah serta mengekang pembuangan sisa secara tidak terkawal.
Pelaksanaan SPSS mewajibkan premis perniagaan dan penduduk melupuskan sisa masing-masing secara terus ke lori kompaktor mengikut jadual yang telah ditetapkan dan penggunaan rumah sampah tidak lagi dibenarkan di kawasan tersebut.
Pengutipan sampah di Pusat Komersial Salut akan dilaksanakan sekali sehari, iaitu pada jam 9.00 pagi hingga 9.20 pagi, dan hanya membenarkan pelupusan sisa domestik.
Bagi memastikan pemakluman yang jelas agar persediaan sewajarnya dapat diambil oleh semua pihak yang terlibat, hebahan awal kepada semua premis dan pihak berkepentingan di kawasan tersebut telah dilaksanakan melalui edaran notis rasmi sebelum tarikh pelaksanaan SPSS.
Mana-mana individu atau pengusaha premis yang didapati membuang sampah merata-rata tempat atau melupuskan sisa di luar masa yang ditetapkan boleh dikenakan kompaun di bawah Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005 dengan kadar tidak kurang daripada RM20 dan tidak melebihi RM500 bagi setiap kesalahan.
DBKK merakamkan penghargaan kepada KKIP Sdn. Bhd. Dan WTW Services Sdn. Bhd. atas kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan SPSS di Pusat Komersial Salut. Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan kebersihan, kesihatan awam dan imej Pusat Komersial Salut sentiasa terpelihara.
Setakat ini, lokasi yang telah melaksanakan SPSS sejak ia diperkenalkan pada 2019 ialah:
Kampung Air
Medan Selera Anjung Senja
Bandaran Berjaya
Kompleks Sinsuran
Jalan Padang dan Lorong Dewan
Inanam Taipan
Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK
#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



