Skip to main content

Berita: BENGKEL PENYEDIAAN GARIS PANDUAN PERMOHONAN DAN KELULUSAN LESEN STRUKTUR PAPAN IKLAN DAN LED KAWASAN KOTA KINABALU

  • -

    24 JULAI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Permohonan dan Kelulusan Lesen Struktur Papan Iklan dan Light-Emitting Diode (LED) Kawasan Kota Kinabalu, di The Pacific Sutera Hotel pada 22 hingga 23 Julai 2026.

    Bengkel yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Robert Lipon, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), DBKK ini dihadiri seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Sabah Electricity serta jabatan-jabatan DBKK yang berkaitan.

    Penganjuran bengkel ini bertujuan membangunkan dan memperkemas garis panduan permohonan serta kelulusan lesen bagi struktur papan iklan dan paparan LED di kawasan Kota Kinabalu, selain menjadi platform untuk menyelaras kefahaman dalam kalangan agensi kerajaan, pengiklan, perunding, kontraktor dan pemilik premis agar setiap pemasangan iklan dilaksanakan secara lebih sistematik, mematuhi kehendak undang-undang dan memenuhi aspek keselamatan dan estetika bandar.

    Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah mengikuti beberapa sesi taklimat yang memberi fokus kepada aspek perundangan, teknikal dan pengurusan pemasangan struktur papan iklan serta paparan LED.

    Antaranya ialah Taklimat Undang-undang Kecil (Iklan) Majlis Perbandaran Kota Kinabalu,1983 yang disampaikan oleh Tuan Kenny Leo Chia Wen Kok, Pegawai Undang-undang, DBKK; Taklimat Garis Panduan Semasa dan Arahan KKR Berkaitan Pengurusan Billboard di Jalan JKR oleh Ir. Ts. Brenda Takom daripada Jabatan Kerja Raya Sabah serta Taklimat Garis Panduan Paparan Iklan LED di Kawasan Kota Kinabalu oleh Tuan Leong Tze Fui, Pengarah Jabatan Pelesenan, DBKK.

    Hasil penyediaan garis panduan ini diharap dapat menjadi rujukan yang jelas, praktikal dan menyeluruh kepada semua pihak dalam proses permohonan serta kelulusan lesen struktur papan iklan dan paparan LED.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pelesenan, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK