Skip to main content

Berita: DBKK LAKSANA PEMERIKSAAN DAN PENGGREDAN PREMIS MAKANAN DI SEKITAR BANDARAYA KOTA KINABALU

  • -

    20 JANUARI 2026: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya telah melaksanakan pemeriksaan dan penggredan premis makanan secara berperingkat di beberapa lokasi sekitar bandar raya, bermula 05 hingga 16 Januari 2026.

    Antara kawasan yang terlibat ialah pusat bandar, Tanjung Aru, Damai, Manggatal dan Sepanggar.

    Sepanjang tempoh pemeriksaan ini, sebanyak 50 premis makanan telah diperiksa dan digred. Daripada jumlah ini, 10 premis telah memperoleh Gred A, manakala 40 premis diberikan Gred B.

    Disamping itu, sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya ialah kegagalan pengendali makanan memiliki kad pengendali makanan dan sijil kesihatan yang sah serta kegagalan menyelenggara perangkap lemak dengan baik dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Tindakan turut diambil terhadap premis yang didapati membuang atau mengalirkan sisa makanan, minyak dan lemak ke parit awam sehingga mengotorkan kawasan persekitaran dan kaki lima.

    Bagi memperkukuh tahap kebersihan dan keselamatan makanan di bandar raya ini, DBKK telah menambah baik syarat-syarat lesen premis makanan dengan beberapa syarat baharu, iaitu:

    Image removed. Premis makanan hendaklah menjalankan kawalan makhluk perosak sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam (6) bulan

    Image removed. Premis makanan hendaklah bebas daripada urungan Lipas, Lalat dan Tikus (LILATI)

    Image removed. Premis makanan mestilah mencapai markah penggredan sekurang-kurangnya 60 peratus ke atas dan tandas premis makanan mestilah mencapai tahap kebersihan minimum 4 Bintang

    DBKK menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan, dan akan terus meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.

    Pemantauan berterusan ke atas premis makanan akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa dalam memastikan tahap kebersihan yang lebih baik di bandar raya ini.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK