Berita: UPACARA MEMPERINGATI MANGSA-MANGSA PERANG PETAGAS TAHUN 2026, JASA DAN PENGORBANAN PERWIRA TANAH AIR TERUS DIKENANG
22 JANUARI 2026: Tugu Peringatan Petagas sekali lagi menjadi saksi kepada penganjuran Upacara Memperingati Mangsa-mangsa Perang Petagas Tahun 2026, yang diadakan bagi mengenang jasa serta pengorbanan para pejuang dan penduduk tempatan yang terkorban semasa era pendudukan Jepun di Sabah ketika Perang Dunia Kedua, pada 21 Januari 2026.
Upacara dimulakan dengan tiupan ‘Last Post’ oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di bawah pimpinan Inspektor Willbonoh Zain, Pengarah Pancaragam PDRM Kontinjen Sabah. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi bertafakur selama 20 saat sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa Perang Petagas.
Majlis seterusnya menyaksikan Istiadat Meletakkan Karangan Bunga yang didahului oleh YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, mewakili Ketua Menteri Sabah. Istiadat tersebut turut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Sr. Lifred Wong, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu serta Leftenan Kolonel Alphonsus Radsung @ Benedect, Pegawai Memerintah Rejimen Ke-35 Artileri Diraja, mewakili Panglima 5 Divisyen.
Turut meletakkan karangan bunga sebagai tanda penghormatan ialah wakil-wakil jabatan dan agensi persekutuan serta negeri, antaranya Encik Neldin Gimbang, Timbalan Setiausaha Tetap 3, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah; Encik Patrick Laing Ngau, Penolong Setiausaha Persekutuan Sabah, mewakili Setiausaha Persekutuan Sabah; Kapten Ahmad Sani bin Zakaria, Komander Pangkalan, mewakili Panglima Armada Timur; YDH ACP Cyril Edward Nuing @ Hillary, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah; Brigedier Jeneral Koey Tang Chai, Ketua Staf Markas Wilayah Udara 2, mewakili Panglima Wilayah Udara 2 serta Leftenan Komander Maritim Haw Vui Fung, mewakili Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Istiadat tersebut turut disempurnakan oleh wakil keluarga mangsa perang dan pertubuhan berkaitan, termasuk Encik Donald Tan Sri Ben Stephens, wakil keluarga bekas tawanan mangsa perang; Encik Shek Yen Thian dan Cik Ivy Pan, wakil keluarga mangsa perang; Encik Ruhimin bin Japar, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabah; Datuk Michael Lui Yen Sang, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua.
Sebanyak 11 kontinjen perbarisan statik turut mengambil bahagian dalam upacara ini, melibatkan kontinjen Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Persatuan Pesara Polis Diraja Malaysia, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (Sabah) serta Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Upacara diakhiri dengan tiupan ‘Rouse’ sebagai penutup rasmi majlis.
Pengorbanan mangsa-mangsa Perang Petagas diharap akan terus dikenang dan menjadi pengajaran serta sumber inspirasi dalam menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap keamanan yang dikecapi hari ini.
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLestariDikeluarkan oleh:
Bahagian Media dan Komunikasi
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



