Berita: SAMBUTAN HARI SABAH 2026
4 SEPTEMBER 2026: Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens sekali lagi menjadi tumpuan pada malam 31 Ogos 2026 dengan berlangsungnya Sambutan Hari Sabah 2026, meneruskan kemeriahan sambutan dalam suasana penuh warna-warni dan semangat perpaduan.
Keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin telah disambut oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hadir sama dalam sambutan ini ialah YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2026 bersama isteri, YBhg. Datin Sri Hajah Adreen Aderizza binti Mohd Soffi.
Ketibaan turut diserikan dengan tarian sambut tamu oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) yang mengangkat konsep kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di negeri ini.
Sambutan Hari Sabah 2026 membuka tirainya dengan Lafaz Pemasyhuran yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah. Suasana kemudiannya dimeriahkan dengan persembahan lampu laser yang menerangi langit malam, menjadi simbolik kepada keharmonian dan kebersamaan masyarakat Sabah.
Acara kemudian diteruskan dengan Upacara Menaikkan Bendera Negeri Sabah oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil diiringi lagu Sabah Tanah Airku oleh kumpulan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.
Kemeriahan malam terus bergema menerusi persembahan khas “Tanah Airku” dengan menampilkan gabungan artis tempatan dan kumpulan kesenian pelbagai latar, yang menyatukan keindahan budaya, sejarah dan semangat kesatuan melalui gerak tari, muzik serta nyanyian.
Turut mencuri perhatian ramai penampilan istimewa barisan anak seni tempatan dan perarakan budaya dengan enam (6) ikon budaya yang mengetengahkan kepelbagaian warisan Sabah menerusi busana dan prop berlampu yang penuh dengan elemen kebudayaan. Antaranya ialah Sigar Penampang, Usunan Bajau Samah, Gunung Kinabalu, Menara Kinabalu, Taming dan Lepa.
Bendera negeri Sabah berkibar megah di Sambutan Hari Sabah 2026 yang menjadi wadah dalam menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat selain meraikan kekayaan budaya dan keunikan warisan tempatan.
Sabah Tanah Airku!
Liputan: Eleanor Michelle Patrick
Foto: Renaldo Fernandez#BandarayaKotaKinabalu
#BandarayaPintarDanLesstariDikeluarkan oleh:
Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungna Awam
Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK



