Skip to main content

Berita: TINDAKAN OPERASI PEROBOHAN STRUKTUR HARAM DI KAWASAN BUKIT SEPANGGAR

  • -

    2 APRIL 2026: pada 01 Februari 2026 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan satu operasi bersepadu bagi menangani aduan kewujudan setinggan yang melibatkan pembinaan struktur haram menggunakan kem terpal di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan.

    Operasi yang bermula pada jam 1.45 petang ini melibatkan seramai 11 anggota DBKK yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, dengan kerjasama 6 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), diketuai oleh Sarjan Teddy. Operasi turut disokong oleh penggunaan logistik kenderaan DBKK.

    Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati sebanyak 23 struktur sementara telah dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam. Struktur tersebut dipercayai dijadikan sebagai tempat persembunyian bagi mengelak daripada operasi penguatkuasaan terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh pihak berkuasa.

    Pemeriksaan lanjut turut mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai sebarang kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, selain berada dalam keadaan tidak terurus, tidak selamat untuk didiami serta berisiko dari aspek keselamatan dan kebersihan.

    Sehubungan itu, DBKK dengan kerjasama PDRM telah mengambil tindakan meroboh dan mengalihkan kesemua 23 struktur haram tersebut. Pihak PDRM turut menjalankan pemeriksaan dokumen di lokasi dan telah menahan seorang lelaki dewasa bagi tujuan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa pihak polis.

    Operasi ini berakhir pada jam lebih kurang 6.00 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

    DBKK akan terus komited dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandaraya bebas daripada penempatan haram, di samping memelihara aspek keselamatan, kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran selaras dengan aspirasi Bandaraya Pintar dan Lestari.

    #BandarayaKotaKinabalu

    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:

    Unit Penerangan, Pejabat Mayor DBKK
    Bella Berhaman
    Pegawai Penerangan

    Sumber Info dan Foto:
    Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu