Berita: Sabah Japan EPG Forum, Platform Percambahan Pelaburan Di Kota Kinabalu
YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini telah menghadiri Sabah Japan EPG Forum yang merupakan platform pertemuan pemegang taruh dan badan-badan korporat utama dari Jepun dan Sabah, bagi membentuk jaringan perniagaan dan sinergi profesional antara kedua pihak.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberikan sokongan penuh kepada penganjuran forum seumpama Sabah Japan EPG ini, yang merupakan medium dalam mengenal pasti strategi pembangunan yang wajar diperkemaskan dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan galakan pelaburan di negeri Sabah amnya, dan di Bandaraya Kota Kinabalu khasnya.
Landskap tarikan pelaburan di Kota Kinabalu akan terus diberi keutamaan tinggi oleh DBKK, terutama dalam merangka perancangan dan pembangunan yang mengutamakan rangkaian pengangkutan berkualiti, prasarana awam yang kondusif dan persekitaran perniagaan yang mampan.
Forum yang berlangsung di Hyatt Centric Kota Kinabalu itu turut dihadiri oleh YBhg. Encik Yamashita Yoshito, Head of Consular Office of Japan in Kota Kinabalu.



