Skip to main content

Berita: PROGRAM iBERSIH TURUN PADANG BERSAMA KOMUNITI

  • -

    13 JANUARI 2026: Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan dalam memperkukuh pengurusan kebersihan dan sisa pepejal bandar raya, Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti telah dilaksanakan mulai 10 Januari 2026 dan akan diteruskan pada setiap hari Sabtu.

    Inisiatif yang diperkenalkan menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ini mengambil pendekatan dengan membuat hebahan pintu ke pintu, bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan secara langsung dan berkesan kepada penduduk.

    Program ini membabitkan penglibatan pasukan di lapangan yang turun padang bersama komuniti setempat bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran terhadap amalan kebersihan, khususnya berkaitan pengurusan sisa kebun dan sisa pukal secara lebih sistematik dan teratur.

    Pada hari pertama pelaksanaannya, sekitar 850 buah rumah dan premis telah menerima hebahan berkaitan Modul iBersih dalam sistem Sabah Smart Parking (SSP), iaitu di kawasan Lorong Ridgeview 1-7, Taman Ridgeview; Taman Kirana; Taman Seni Bina; Taman Bunga Raya dan Pusat Komersial 88.

    Usaha ini sekali gus membantu penduduk dan pengusaha premis memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan persekitaran bandar raya yang bersih, teratur dan lestari.

    Bersama komuniti, kita jayakan kebersihan bandar raya secara berterusan. Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

    Sumber Info dan Foto: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, DBKK

    #BandarayaKotaKinabalu
    #BandarayaPintarDanLestari

    Dikeluarkan oleh:
    Bahagian Media dan Komunikasi
    Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam, DBKK